Wednesday, 28 January 2015

DI SINI


Di sini...
Aku mempelajari seribu satu makna,
Aku belajar apa itu sahabat,
Erti seorang kawan,
Maksud bagi teman.

Di sini...
Aku mula memahami nilai kasih sayang,
Nilai menghormati,
Nilai pengorbanan dan kesanggupan,
Dan mendalami mengapa perlu kufahami
nilai tersebut.

Di sini...
Walaupun tempatnya kecil,
Tetapi tetap mewah.
Mewah dengan makanan, ilmu dan
bekalan akhirat.
Mewah juga dengan pengalaman.

Di sini...
Aku sedar,
berharganya ucapan 'terima kasih',
Indahnya ungkapan 'maaf',
Sakitnya sepatah kata,
Percakapan meninggalkan makna
mendalam.

Di sini segalanya bermula,
Di sini segalanya terukir,
Di sini sejarah terlakar 5 tahun,
Dan di sini (AYSK) tempat aku mengenali
kehidupan.


Oleh : Muhammad Qayyum bin Mohd Mujib
2014

Cerpen : Silam (3)

Aku memberhentikan kereta Peroduaku di hadapan sebuah taman. Taman yang berdekatan dengan kawasan perbandaran sememangnya tempat rekreasi yang sesuai. Baru tadi kami ke The Store membeli barang dapur. Zulaikha yang seolah-olah memahami aku, tidak meminta lebih. Jujur aku tak kisah kalau dia inginkan apa-apa kerana duit gajiku jarang terusik banyak, tapi dia lebih suka bersederhana.

"Wah, seronoknya jalan-jalan kat sini. Jom abang!" isteriku sudah tidak sabar-sabar.
Kami keluar dari kereta kemudian berjalan beriringan di taman itu. Aku perlahan-lahan menggenggam tangan Zulaikha. Walaupun malu-malu, isteriku tidak langsung menolak. Geram pula aku melihat telatah isteriku ini. Dia suka menyakat aku, dan aku mula sedar perangai dia yang satu ini.

"Abang ceritalah pasal diri abang. Ika nak tahu" pintanya.
"Cerita yang macam mana tu?"
"Macam mana lagi? Masa abang kecik-kecik, pasal mak dengan ayah ke?"
Aku tersenyum. Zulaikha sedia mendengar tanpa jemu.

****

Aku bekerja seperti biasa. Minggu yang sepatutnya aku syif malam dapat ditukarkan kepada pagi. Mujur ada rakan kerja yang dapat membantu. Setelah selesai urusan dari pejabat, aku kembali ke pondok pengawal di hadapan bangunan pejabat. Dari jauh aku dapat lihat kelibat seorang lelaki. Mungkin lebih muda daripada aku. Lalu aku menyapa.

"Dik, ada apa urusan ke sini. Boleh abang tolong?"
Lambat dia membalas. Dia melihat-lihat aku. Aku pula yang berasa pelik.
"Abang ni... Aminuddin kan?"
Hairan. Jarang orang tahu nama pengawal. Hmm,layan aje la.

"Ya saya. Kenapa?"
Lelaki itu tersenyum sinis. Bagaikan memerli aku tapi aku diamkan sahaja. Siapalah aku nak dibandingkan dia ni. Nampak bekerjaya dan ada personaliti sendiri.

"Dik, ada urusan kat sini ke? Kalau tak boleh keluar" aku mengarah lembut.
"Saya ada urusan dengan abang aje"

Blank. Apahal mamat ni?

****

Hatiku berkecamuk. Marah, kecewa, sedih pun ada. Kamal perasan perubahan aku. Ada juga dia tegur tapi aku diamkan aje. Mamat tadi memang menyakitkan mata. Tambah lagi, menyakitkan hati. Aku tidak pernah berhadapan dengan masalah seperti ini. Jadi aku tak tahu nak reaksi macam mana.
Selesai solat maghrib, aku lambat-lambat pulang ke rumah.

"Lambat pula abang balik hari ni?" tegur isteriku.
Aku diam. Lidah terasa berat untuk berkata.
"Abang nak makan? Ika panaskan nanti ya" Zulaikha mengurut bahuku sementara aku pula memejamkan mata. Perghh, pejam mata terus nampak bayangan mamat tu. Sakit hati. Aku sumpah rasa sakit hati. Dekat mamat tu dengan... isteriku sendiri.

"Aku yang rogol dia. Tak, sebenarnya kami terlanjur. Sorry, bro. " sinis.
"Kau merepek apa ni? Kau blah sekarang!"
"Zulaikha tu, memanglah dia tak nak malam tu. Tapi entah macam mana kami terlanjur pulak. Aku rasa sebab dia takut mengandung tu yang dia kahwin dengan kau"
Sumpah aku terkelu. Lemah lutut terasa.
"Sorry kalau susahkan kau, tapi aku nak Zulaikha..."

"Diam! Kau diamlah!" aku terjerit. Kuat. Saat itu aku membuka mata. Zulaikha yang elok mengurut terkejut melihat aku menyinga. Dia terkebelakang.

"Err..a..abang?"
Aku bagai hilang pertimbangan. Maruah lelaki aku tercabar. Terus aku sambar bahu dia. Mataku merenung matanya. Aku perlukan keikhlasan! Zulaikha kecut. Dia takut melihat aku.
Aku sedih. Kalau betullah apa lelaki tu cakap, aku rasa aku yang diperbodohkan. Aku sedih ditipu hidup-hidup oleh isteri sendiri.

"Kenapa Ika? Kenapa?!" aku separuh jerit. Mata Zulaikha sudah bergenang.
"A..abang? Ke..kenapa..ni?" dia gugup.

Tidak semena-mena, aku mengucup bibir Zulaikha. Aku rasa ini je la cara untuk buat dia jujur. Aku perlu tegas dan menunjukkan yang aku suami dia. Berhak buat apa saja!
Zulaikha terkejut dengan tindakanku. Dia cuba menolak namun aku terus-terusan mencium dia.
Aku dengar rintihan dia supaya aku berhenti namun aku lebih dikuasai nafsu amarah. Tiba-tiba Zulaikha senyap. Aku tersentak. Saat itu baru aku memandang dia. Dia menangis sambil terhinjut-hinjut bahunya. Zulaikha menunduk. Tangannya menutup wajah.

Aku jadi serba salah. "Err..sa..sayang? Sayang, abang minta maaf"
Zulaikha mengesat air matanya. Dia menggeleng. Terus dia berlari masuk ke bilik. Aku mengeluh berat. Ya Tuhan, apa aku buat ni?

Ketika aku masuk ke bilik, Zulaikha baring di kepala katil. Dia memeluk tubuhnya sambil menyorokkan wajahnya. Aku mengeluh lagi. Perlahan-lahan aku naik ke katil, baring di hadapannya. Aku ingin menunggu sehingga dia habis menangis. Tanpaku sedar, aku terlelap kerana kepenatan seharian bekerja serta memikirkan masalah ini.

"Abang"
Aku terpisat-pisat. Segera aku mendongak. Wajah Zulaikha menyapa. Lambat aku memproses otak apa yang berlaku.
"Err...sayang. A..abang minta maaf.." kataku terhenti. Zulaikha memegang erat tanganku.
"Tak apa. Ika tak salahkan abang. " dia tersenyum.

Perlahan-lahan aku membalas senyumnya.
"Kita belum solat Isyak lagi. Abang pun tak mandi lagi. Busuk" isteriku tertawa kecil.
Hatiku lapang mendengar tawanya. Syukurlah, dia tak marahkan aku. Aku segera menginsafi diri.

Usai solat Isyak, kami merebahkan diri kembali di atas katil. Aku memeluk Zulaikha seperti biasa. Dia nampak tenang lalu membalas pelukanku. Ketika aku menutup mata. Aku terasa bibirku dikucup lembut. Terkejut bukan kepalang lagi aku tatkala aku membuka mata. Wajahnya membahang merah.
Sambil tersenyum dia berkata, "Ika tak marahkan abang. Abang dah banyak berkorban untuk Ika. Terima kasih"
Aku tersenyum mendengarnya.
"Sama-sama" lantas aku mengucup dahinya lalu melelapkan diri.

Berkorban? Korban sebab jadi watak sampingankah?

****

Selesai Subuh, aku membersihkan diri manakala Zulaikha turun menyediakan sarapan. Tatkala aku turun ke dapur, dia sedang membancuh teh o. Baru aku teringat Sabtu minggu ni merupakan giliran aku bercuti. Aku rasa aku diamkan dululah pasal ni. Nak buat surprise.

"Makan, abang" jemput isteriku.
Aku sekadar mengangguk. Seketika, aku melepaskan keluhan dan menarik nafas panjang.
"Sayang, siapa nama teman lelaki sayang dulu?"
Zulaikha ternyata terkejut. Pasti dia tidak menyangka soalan sebegitu boleh terkeluar dari mulutku. Aku bukanlah jenis yang pandai nak berkias. Wajah isteriku mendung seketika.

"Bekas teman lelaki" sengaja dia menekankan ayat 'bekas'. "Kenapa abang tanya? Ika tak ada apa-apa hubungan lagi dengan dia"
"Abang cuma nak tau"
"Sebab?"
Aku mengeluh. "Dia jumpa abang"
Nampaklah Zulaikha terkejut. Aku tak pasti sebab berita tu atau dia takut rahsianya terbongkar.
"Hah? Jumpa abang?" aku mengangguk.
"Apa dia nak?"
Aku diam aje. Akhirnya, dia yang mengeluh.
"Ika sayangkan dia lagi ke?"
Kali ni dia bukan setakat terkejut, Zulaikha nampak macam marah sekali. Dia tarik nafas.
"Ika dah tak ada hubungan dengan dia lagi. Dah tentulah Ika dah tak sayangkan dia. Buat sakit jiwa je ingat." wajahnya mencuka.
Aku diam.

****

Sabtu itu aku ke dapur awal pagi. Rasa macam nak tolong isteri masak pula. Aku tercari-cari isteriku di dapur. Dapur ni bukanlah besar mana, ke mana pulak isteri aku ini. Tiba-tiba isteriku muncul dari pintu belakang, dekat dengan tempat aku berdiri.

"Auchh!" dia terlanggar badan belakangku.
"Eh, abang buat apa kat sini?"
"Sayang pulak buat apa kat belakang?" sengaja aku tidak menjawab soalannya.
Dahi Zulaikha berkerut. Aku usap kepalanya perlahan-lahan.
"Ika ambil cili padi kat belakang. Ni." tunjuknya senggenggam cili padi di tangan.
Pelik aku. Dari mana datangnya.
"Siapa bagi?"
Tanpaku sangka soalanku mengundang tawa isteriku. Bukan main lagi dia gelakkan aku. Aku pun tak tahu apa yang lucu. Makin pelik aku dibuatnya.

"Abang ni... Tu la tak tahu. Ika tanam pokok cili kat belakang. Sayang kalau tak guna tanah kat belakang. Jadi Ika tanamlah apa yang patut. Pergilah tengok." katanya sambil dengan tawanya yang bersisa.
Aku pun membuka pintu belakang lalu menjenguk kawasan di belakang. Betul katanya. Selain cili padi, dia turut menanam sayur kekacang. Di suatu sudut aku ternampak tunas pokok ubi kayu. Baru aku sedar banyak perubahan kat rumah ni isteri aku lakukan. Bukan aku tak perasan rumahku agak bersih dan tersusun. Di bilik juga dia pandai mengemas barang-barang kerjaku.

Tiba-tiba terdetik di hati aku sama ada aku pernah atau tidak berterima kasih dengan dia. Terasa bersalah pula. Perlahan-lahan aku menutup kembali pintu tersebut. Aku menghampiri isteriku yang sedang sibuk memotong bawang dan cili.
Lalu aku memeluk tubuhnya dari belakang. Zulaikha kaku. Tangannya tidak bergerak. Aku tertawa kecil.
"Err..ab..abang..nak..nak apa ni?" Sah, dia gugup. Aku tak dapat menahan diri dari ketawa apabila melihat pipinya merah.
Aku bisik di telinganya perlahan.
"Terima kasih sayang. Buat macam-macam untuk rumah abang sampai berseri jadinya."
Kemudian aku mencium lembut pipinya. Barulah aku lepaskan dia dan berlalu ke ruang tamu. Sempat aku melihat dia tersenyum malu.

"Ya Allah. Abang kenapa tak mandi lagi? Nanti nak pergi kerja lambat pulak" bebel Zulaikha ketika baru sahaja kami hendak bersarapan. Aku tersenyum saje.
"Kejaplah"
"Abang masuk lambat ke hari ni?" aku diam lagi. Selamba sahaja aku terus makan nasi goreng yang terhidang.
"Minggu depan abang syif malam. Sayang okay kan?"
"Hmm..Okay kut. Kita cuba dululah" aku tersenyum senang.
"So esok abang tak pergi kerja pagi. Start pukul 6.30 petang." beritahuku.
"Okey"
Zulaikha kembali menghadap nasi gorengnya.
"Sayang, lepas mandi nanti kita pergi lawat mak dengan ayah ya?"

Zulaikha memandangku hairan. Aku ketawa dalam hati. Dia bagaikan tak percaya dengan apa yang aku katakan.
"Abang cakap apa tadi?" akhirnya tawaku pecah. Nampak sangat tak percaya.
"Kita lawat mak dengan ayah lepas ni."
"Abang! Abang cuti hari ni?" tanyanya penuh curiga.
Aku sekadar mengangguk. Aku perhatikan reaksinya.
"Yeay!!" dia menjerit gembira.

****

"Amin, sihat nak? Rindu mak kat kamu." mak pelukku erat. Aku pun rindu sangat kat dia.
"Sihat. Ayah mana, mak?"
"Ada kat belakang. Eh, Ika apa khabar?"
Mereka bersalaman. "Baik aje, mak." kemudian mereka berborak di ruang tamu.
Aku terus ke belakang mendapatkan ayah. Ayah sedang mencangkul rupanya.
"Ayah"
Dia pusing ke belakang. Bibirnya mengorak senyum.
"Sihat yah?" aku pantas menyalami ayah.
"Sihat. Meh masuk ke dalam. Kamu dengan isteri kamu ke datang? Tak bagi tahu pun."

Kami makan tengah hari bersama-sama. Zulaikha sempat membantu mak di dapur. Aku pula menghabiskan masa berbual dengan ayah. Setelah itu kami menunaikan solat Zohor bersama.
"Assalamualaikum!" mak cepat-cepat ke luar bila terdengar suara tetamu.
"Waalaikumsalam. Yati, ada apa?"
Aku pasti itu rakan kampungnya. Aku buat tak endah sambil membaca surat khabar.

"Ika, mari sini kejap." panggil mak. Zulaikha segera keluar.
"Siapa ni, Mah? Lawa orangnya."puji Makcik Yati.
"Yati, inilah menantu aku. Isteri si Amin."
"Eh, anak kau dah kahwin? Ish, macam manalah budak ni boleh terima si Amin tu, Mah? Apa kes ni?"
"Hah, Ika ambil buah ni bawa ke dapur ya"
Kemudian Zulaikha beredar ke dapur.
Aku berterima kasih pada mak dalam diam.

"Kita tidur sini ke abang?"soal Zulaikha ketika kami ke bandar Melaka.
"Haah. Ika tak suka ke?"
"Eh, taklah. Tapi kita tak bawa apa-apa pakaian pun."
Betul katanya. Aku terfikir nak tidur sini pun sebab esok aku mula kerja lambat. Petang itu aku berkesempatan membawa Zulaikha berjalan-jalan di bandar Melaka.

"Kalau macam tu kita cari baju untuk malam ni"
"Ish, abang ni. Tak mahulah. Bazir duit aje. Kita pinjam je baju mak ayah. Abang simpanlah duit abang"
Aku tersenyum. Senang dengan sikap sederhananya. Kami duduk seketika di kerusi batu sambil menikmati angin petang.

"Ika masih mengharap ke kat teman lelaki Ika?" soalku. Aku perlu selesaikan kekusutan ini. Luaran memang aku nampak biasa tapi aku terseksa.
Zulaikha melepaskan tangannya dari genggamanku. Dia nampak marah. Aku tak tahu kenapa sebab dia patut gembira kalau aku bagi dia peluang untuk bersama dengan kekasihnya.

"Abang merepek apa ni? Ika tak nak dengar" dia memandang kosong ke depan. Sikit pun tak toleh kat aku.
"Dia nak Ika balik... Abang sanggup lepas.." kataku dipotong seblum sempat dihabiskan.
"Tak nak! Ika tak nak dengar! Baik abang jangan cakap macam ni lagi"
"Habis bila Ika nak jujur dengan abang?"
"Jujur tentang apa?"
"Kisah silam Ika. Ika bukannya kena perkosakan?"
Zulaikha tersentak. Seraya itu dia mengalirkan air matanya. Aku mengambil langkah mendiamkan diri. Walaupun rasa bersalah, aku perlu sabar menanti jawapannya.
"Abang tahu jugak kan?"
Kali ni aku pula yang bagaikan tak percaya. Maksudnya, betullah apa lelaki tu cakap? Aku ni boneka pak sanggup je kan?

"Memang. Ika dengannya terlanjur." perlahan Zulaikha menuturkannya. Aku kaku. Tergamam.
"Tapi Ika tak nak. Dia bukannya lelaki yang jujur. Ika tak nak kahwin dengan dia"
Sambil menangis dia membuka rahsianya.
"Dia tahu Ika nak putuskan hubungan sebab tu dia goda Ika supaya Ika terperangkap. Ibu tahu hal ini. Ika minta maaf kalau Ika tipu abang."
Zulaikha menutup wajahnya. Aku tahu dia malu sebab tak jujur dengan aku.
Perlahan-lahan aku memeluk bahunya.
"Kita balik dulu jom"

Dingin. Sejak pulang dari taman. Mak dengan ayah tidak perasan akan hal ini. Sebelum Maghrib aku sudah menyatakan pada mak dan ayah yang kami ingin pulang. Aku tak mahu mereka rasa terbeban pula dengan keberadaan kami di sini. Atau lebih tepat lagi aku tak mahu mereka tahu sesuatu berlaku antara aku dan Zulaikha.

Kami tiba di rumah tepat azan Maghrib. Selesai membersihkan diri kami berjemaah seperti biasa. Ketika bersalaman, Zulaikha menahan tanganku. Seakan-akan tak mahu melepaskannya. Lama dia mencium belakang tanganku. Aku terasa dia menangis.

"Ampunkan Ika, abang. Ika buat dosa dengan abang" dia teresak-esak.
Aku menghampirinya. Tenang hati aku melihatnya. Walaupun masih ragu-ragu dengannya, aku tetap menyenanginya sebagai isteri. Siapa aku untuk menghukumnya? Aku hanya seorang bekas penagih dadah. Sekalipun aku dipulaukan orang kampung, mak dan ayah masih menerimaku.

"Sayang, abang maafkan." aku mengusap kepalanya yang masih dibaluti telekung. Zulaikha mendongak. Kami bertentangan mata.
"Terima kasih abang" dia tersenyum.
"Sekurang-kurangnya sayang jujur dengan abang."
"Ika janji Ika tak buat lagi."
Kami sama-sama tersenyum. Kemudian kami membaca yassin dan solat Isyak.

"Kenapa abang panggil Ika sayang sejak mula-mula kita kahwin lagi? Padahal kita belum kenal lagi" tanya Zulaikha ketika kami merebahkan diri di katil.
"Eh, bukan sayang dah kenal abang ke?"
"Memanglah, tapi maksud Ika..."
"Sebab sayangkan isteri abang. Mestilah isteri yang abang panggil sayang. Takkan mak abang pulak"
Zulaikha tertawa. Tanpa sedar aku dah pun tercakap yang aku sayangkan dia. Malulah pulak.
"Ika cintakan abang"
Zupp. Hatiku dipanah. Sepanjang hidupku, aku belum pernah berhadapan dengan cinta manusia yang satu ini. Hidupku dikelami dengan najis dadah. Ini kali pertama aku mendapat luahan cinta. Ya Allah, indahnya perasaan ini. Seindah perasaan ketika aku menemui cinta-Mu.

Aku menatap wajahnya penuh kasih. Seperti ditarik-tarik, aku mendekatkan wajahku kepadanya. Perlahan-lahan aku mencium bibirnya lembut. Zulaikha tidak menolak langsung. Malah dia membalas ciumanku. Aku membelainya lembut dan kami tenggelam dalam nafsu cinta ini.
"Abang cintakan sayang"

****TAMAT****

terima kasih membaca sampai ending part ni. cerita ni biasa-biasa sahaja. apa pun saya cuba buat kelainan dari cerita kebiasaan pasal orang kaya, cinta dua darjat dan sebagainya. jadi inilah hasil yang tak seberapa. arigatou gozaimasu!

Tuesday, 27 January 2015

Cerpen : Silam (2)

20 tahun lalu....

"Nah, cubalah. Best bro!"
Aku mengambil pil tu daripada tangannya. Dahiku berkerut. Dalam persimpangan sama ada hendak menerima atau menolak. Bukan tak tahu, bukan tak kenal tapi nafsu remaja ingin mencuba bergelojak.

Sejak malam itu, aku menjadi penagih dadah. Mulanya untuk lepaskan stres aje walaupun baru menginjak 14 tahun. Tapi lama-kelamaan aku sudah ketagihkan dadah. Ayah tak tahu, mak pun tak tahu. Ketika umur mencecah 16, ayah nekad menghantarku ke sekolah tahfiz. Beria-ia aku tak nak kerana kebebasan aku akan tersekat. Mana aku nak dapatkan bekalan aku kalau aku terperuk dalam asrama.

Keputusan ayah tetap. Seksa aku menyesuaikan diri tanpa makanan ruji aku. Walaupun aku belum kira lagi tegar lagi tapi aku sangat terseksa. Badanku mula menggigil tak tentu hala. Kadang-kadang aku terasa lemah yang teramat sehingga aku pernah terjelepok di padang sekolah. Susunan baris al-Quran berterabur dan kabur. Setelah cuba bertahan selama 6 bulan, ayah membawaku pulang. Dia menyangka aku sakit. Namun waktu itu aku tekad untuk lupakan dadah alang-alang aku sudah bersusah payah menahan diri.

Selepas SPM, aku terus bekerja. Kerja di kilang biskut. Mak dan ayah pernah menyuarakan hasrat hati mereka ingin melihat aku menjadi ustaz. Mereka reda jika aku terus sambung belajar di pondok selepas SPM. Tapi aku tak berminat.

Harapan mereka musnah sekaligus apabila sekali lagi aku terlibat dengan dadah. Pengaruh rakan kerja menarik aku kembali dalam dunia gelap ini. Kerana menurutkan rasa mengidam itu juga aku menjadi penagih. Mencuri duit mak ayah bagi memuaskan nafsu dadah sedikit pun tak membuatku berasa bersalah. Gajiku yang kecil langsung tidak mencukupi.

Kerjaku semakin merosot sehingga aku dibuang kerja. Ayah orang pertama tahu. Tak puas aku dipukul ayah, abang aku menghina aku. Mak dan adik sekadar memandang hiba.
Kerana ikutkan hati aku lari dari rumah.

Hidupku semakin gelap. Permohonan kerja sudah tak berguna lagi untuk aku. Berhijrah dari Melaka ke Seremban bukanlah jauh namun aku tidak mempunyai wang. Aku ibarat hidup segan mati tak mahu. Akhirnya, aku menjadi pengemis.

Suatu hari, aku pengsan di hadapan surau. Seorang lelaki tua memberikan aku tumpang di rumah orang-orang tua. Tanpa segan aku menceritakan perihalku. Berkat sokongan mereka aku pulih dari menjadi penagih.

****

"Abang?"
Aku tersentak. Isteriku dipandang.
"Nak air?"
"Bolehlah."
Kami sudah berpindah dari rumah ibu. Rumah aku ni kecil. Tiada yang istimewa sekadar dua bilik tidur, dapur yang sempit dan ruang tamu yang sunyi tanpa televisyen. Aku pula baru sahaja menukar katil single kepada saiz queen.

"Sayang, abang nak tanya sikit boleh?"
"Apa dia?"
Wajah isteriku dipandang penuh kasih.

"Abang tak pasti sama ada kita boleh bahagia atau tak hidup macam ni. Sayang tahukan pasal abang?"
Zulaikha menunduk."Tahu"
"Boleh tak sayang terangkan apa yang sayang fikirkan sampai boleh terima abang?"

Jujur aku masih tak puas hati. Aku bekas penagih dadah. Kampung halaman aku dah tak terima aku lagi. Abang dengan adik pun lupakan aku. Kampung ni pun aku tumpang atas kasihan dan simpati mereka. Kerjaku pengawal keselamatan. Zulaikha pula dari keluarga yang baik-baik. Dia cuma...cuma tak suci lagi je. Sebab peristiwa yang tak diingini. Aku rasa Zulaikha boleh dapat suami yang lebih bagus dari aku. Satu lagi, macam mana dia boleh terfikir nak kahwin...dengan aku? Tak masuk akal.

Zulaikha tersenyum kecil.
"Abang dah berubah pun. Salahkah Ika nak bagi peluang pada abang?"
"Peluang? Abang tak faham"
Aku memang dah berubah. Peluang apa lagi yang aku perlukan?

"Peluang untuk berkeluarga." aku tersentak.

"Malam lepas peristiwa tu, Ika tak percayakan lelaki. Ika rasa macam diperbodohkan. Sebelum tu baru je Ika putus hubungan dengan teman lelaki Ika. Masa kaunseling, doktor bagi tahu Ika yang tak semua lelaki macam tu. Ika kena lawan trauma Ika sendiri. Salah satu caranya Ika kena kahwin"

Hurmm, kira macam kahwin paksa aje aku dengar.

"Untuk elak rasa kecewa lagi Ika tekad pilih abang. Ika tahu pasal abang pun masa kat surau. Abang yang azankan masa maghrib? Orang-orang cakap abang bekas penagih dadah, kerja sebagai pengawal keselamatan aje. Ika tahu orang macam abang yang baru je berubah takkan sia-siakan peluang."

Aku telan liur. Teringat masa malam pertama waktu Zulaikha menyatakan keyakinannya terhadap aku.

****

Zulaikha sudah berura-ura mahu tidur. Aku pula sibuk mengemas barang memandangkan kerjaku minggu ini syif pagi. Ketika aku naik ke katil, Zulaikha telah pun tidur. Tanpa berfikir panjang aku melelapkan mata.

Dalam pukul 2.30 pagi, Zulaikha meraung. Bergegas aku mendapatkan isteriku disebelah.

"Sayang! Abang ni. Bangun, sayang" bahu Zulaikha kugoncang lembut. Zulaikha pantas membuka matanya yang berair kerana menangis.

Mungkin Zulaikha belum biasa lagi di rumahku. Kadang-kadang sahaja Zulaikha tidak meraung.

Dalam teresak-esak, Zulaikha cuba menenangkan diri.
"Abang?"
"Ya. Sayang okey dah?"
Pantas sahaja Zulaikha memeluk aku. Terkejut aku. Sepanjang aku berkahwin belum lagi Zulaikha cuba untuk menyentuhku. Aku nak pegang tangan dia pun susah. Asyik menggigil takut aje, aku pun tak berani nak pegang dia.
Perlahan-lahan aku usap belakangnya.
"Ika takut"
"Shhh... tak ada apa dah" aku cuba memujuk dia.

Akhirnya malam itu kami tidur berpelukan. Tak, Zulaikha sahaja tidur. Aku tak boleh lelap langsung sebenarnya. Jantung aku asyik menggila sepanjang malam. Malu pun ada. Sampai subuh, aku berpura-pura tidur. Waktu ini Zulaikha akan mengejutkan aku. Aku dapat rasakan Zulaikha bangun tapi langsung tidak menolak tanganku yang berada di pinggangnya. Aku terasa dia memandangku.
Aishh...bila dia ni nak kejut aku? Aku jadi tak menentu.

Tidak tahan dengan pandangan isteriku, aku menggeliat kecil. Barulah aku terdengar suaranya.
"Abang, bangun Subuh." aku membuka mata perlahan.
Pantas aku bangun sambil menggosok-gosok mata. Sumpah, aku ngantuk sekarang ni.
Zulaikha pula ke bilik mandi. Tanpa sedar, aku tersenyum.

Pagi itu, Zulaikha seolah-olah malu denganku. Dia asyik menunduk. Aku pula tak banyak bicara terus ke tempat kerja seperti biasa selepas bersalaman.

"Amin, nanti tengokkan blok belakang. Ada paip bocor katanya"
"Ok"

Aku pulang malam pukul 8.00 p.m. Sebelum ke rumah aku singgah di kedai membeli barang keperluan rumah memandangkan banyak lagi yang tak lengkap.
Zulaikha sambut di hadapan pintu membuatkan aku rasa tenang sekali. Bukan ada beza pun ketika di rumah ibu tapi kali ni kerana ini di rumahku sendiri. Tak, rumah kami sebenarnya.

"Abang dah solat maghrib?"
"Dah"
"Nak air?"
Aku tersenyum. Perasaan berumah tangga terasa bahagia. Ceh, padahal masa kat rumah ibu pun dia layan aku macam ni.

"Minggu depan abang syif malam. Ika tak apa ke tidur sorang?"
Zulaikha nampak pucat. Takutlah tu.
"Err..tak boleh ke abang minta tukar pagi?"
Aku agak dah. Aku tersenyum dalam hati. "Macam mana kalau tak boleh?" saje aku mengujinya.

Zulaikha wajahnya mendung. Dia macam memikirkan sesuatu. Kemudian dia mengeluh. Aku pula bersalah melihat dia kesusahan. Hati aku sayu.
"Ika tidur rumah ibu, boleh? Kalau abang izinkan" usul Zulaikha.
Akhirnya aku mengalah. Tak patut aku buat dia begini.
"Nanti abang cuba minta kerja pagi buat sementara sampai Ika sedia. Jangan sedih ya, sayang"

Dia tersenyum gembira. Lega hati aku. "Terima kasih, abang"
Aku menatap wajahnya. Lama. Sangat menenangkan. Seperti ditarik, aku mendekatkan wajahku dengan wajahnya. Aku pun tak tahu kenapa. Saat aku cuba memegang bahunya, Zulaikha menepis. Dia nampak terkejut. Aku pula tersentak dan tersedar. Wajah isteriku memerah. Dia memalingkan wajahnya kemudian berlalu ke dapur.
Aku meraup wajahku. Menyesallah pulak buat macam ni. Dah tau dia masih trauma, jangan buat dia bertambah trauma sudah. Sabar, Amin...sabar. Terus sahaja aku naik ke bilik membersihkan diri.

Azan Isyak berkumandang. Zulaikha masuk ke bilik setelah aku panggil untuk solat berjemaah.
"Abang, err..makanan dah siap. Kita turun ya" ujarnya usai kami solat.
Aku sekadar mengangguk.

Kerana terlalu penat, aku terus berbaring di katil selepas membantu Zulaikha mengemas dapur. Lampu tidur dibiarkan dipasang. Baru sahaja aku mahu terlelap, aku terasa badanku dipeluk. Terus aku membuka mataku. Zulaikha.
"Sayang okey ke?"
Dia sekadar mengangguk sambil menyorokkan wajahnya di balik dadaku. Comellah isteriku ini.
"Ika peluk abang ya. Abang tak kisah kan?"
Aku tersenyum. Lantas aku membalas pelukannya. "Tak. Goodnight, sayang"

****

Seminggu itu, Zulaikha tidak lagi meraung pada tengah-tengah malam. Seminggu itu juga dia tidur dalam pelukanku. Dan seminggu tu jugak aku sebenarnya tak tidur lena. Walaupun dapat tidur, tapi sangat sekejap. Dengan alasan ni jugak aku bagi dekat majikanku agar aku diberikan syif pagi. Alasan tak cukup rehat dan serta masalah isteriku. Majikan aku tersenyum sumbing. Aku rasa dia tengah gelakkan aku.

Namun, aku gembira melihat perubahan Zulaikha. Dia sudah menampakkan perubahan positif apabila dia boleh memegang tangan aku. Kadang-kadang dia akan mengurut aku yang letih setelah pulang kerja. Baguslah.
Aku sengaja mengambil cuti sehari pada hari Selasa. Kerja pengawal keselamatan jarang ada cuti melainkan mohon cuti sendiri. Aku berhasrat ingin membawa Zulaikha ke pekan. Walaupun dia tidak pernah merungut kebosanan, aku tahu dia mati kutu di rumah. Televisyen tak ada. Sekadar ditemani radio. Kerja rumah pun bukanlah banyak memandangkan kami berdua sahaja di rumah. Lainlah kalau ada budak kecil. Anak? Hmm... aku tak mahu memberi apa-apa komen pasal ni.

"Bestnya dapat pergi pekan. Abang nak pergi mana nanti?" Zulaikha tampak gembira. Wajahnya berseri-seri. Aku tersenyum memandangnya.
"Kita beli barang sikit. Lepas tu kita jalan-jalan"
Bagaikan kanak-kanak ribena, isteriku melompat kegembiraan. Aku pula tertawa kecil.
"Jom, sayang"

bersambung...

Monday, 26 January 2015

Cerpen : Silam (1)

Tergamam. Aku tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan ini. Gembira, sedih, berdebar, takut pun ada. Tapi yang pasti, hatiku telah pun terpaut.

"Dia sedia terima kamu tapi... ada seperkara yang kamu perlu tahu tentang dia sebelum kamu menikahinya"

Kata-kata Pn Amirah berlegar di mindaku. Aku tak pasti apakah keputusanku nanti berbaloi. Tetapi sudah lama aku mencari peluang ini. Takkanlah aku nak sia-siakan. Aku harap apa yang Pn Amirah katakan benar belaka.

****

Aku cuba menenangkan diri. Banyak kali aku beristighfar. Aku yakin dengan apa yang aku lakukan. Setelah solat istikharah pada minggu lalu, aku rasa aku perlu yakin dengan pilihan Allah S.W.T.
Lagipun aku baru sahaja berubah. Jadi aku tak perlulah merasakan diri terlalu hebat inginkan semuanya sempurna. Sekali lagi, aku bermuhasabah diri.

"Bro, rilekslah! Hahaha... nervous eh?" usik Kamal, rakan kerja aku.
"Sikitlah." aku sekadar tersengih.
"Baca selawat, jangan lupa. Insha Allah kau lepas " Kamal memberi semangat.

Aku berterima kasih. Lagi beberapa minit, upacara majlis kahwin akan bermula. Akad nikah ini ringkas dan sederhana sahaja. Aku tidak meminta lebih memandangkan pembiayaan perkahwinan ini pun separuh sahaja aku mampu. Kerjaku sebagai pengawal keselamatan bukanlah pekerjaan yang mampu memberikan apa-apa kemewahan. Namun aku ikhlas selagi rezeki yang kuperoleh halal. Aku pasrah. Harap-harap rezeki ini juga dapat menampung kehidupan aku yang bakal berubah tak lama lagi. Sebagaimana si dia menerima kekuranganku, begitu juga aku.

Dengan sekali lafaz, aku sah menjadi suami kepada Zulaikha, anak gadis Pn Amirah. Aku bernikah dengannya pun kerana dirisik sendiri oleh Pn Amirah. Pada mulanya aku sendiri tak percaya kerana aku merasakan bahawa aku ini amat sekali tidak layak diterima dalam keluarga ini. Namun, setiap manusia mempunyai kekurangan masing-masing. Pn Amirah menerimanya dengan terbuka. Aku berterima kasih padanya tetapi bagaimana pula dengan Zulaikha?

Ketika aku mendekati Zulaikha untuk membatalkan wuduk, dia menundukkan wajahnya. Jelas di mata aku, betapa indahnya ciptaan Tuhan Yang Maha Esa. Zulaikha begitu sempurna di depanku walaupun aku tahu keadaan dirinya. Aku mengucap syukur. Jari manis Zulaikha kutarik perlahan dan menyarungkan cincin perkahwinan. Setelah itu, Zulaikha mencium belakang tanganku. Aku dapat rasakan dia gementar. Cepat-cepat Zulaikha melepaskan tanganku. Aku faham kenapa dia begitu.

Walimatul urus ini meriah dengan kunjungan rakan-rakan dan sanak saudara keluarga isteriku. Aku? Hanya ibu bapa aku yang sudi hadir. Abang dan adikku tidak pulang ke kampung. Manakala sanak saudara aku pula sudah lama membuangku. Apa-apa pun aku sangat bersyukur dapat berkongsi kegembiraan ini dengan insan yang tersayang.

Setelah habis majlis, aku membantu warga pakatan mengemas tempat. Isteriku pula sibuk di dapur bersama yang lain. Baru aku tersedar setelah asyik mengemas, jam menginjak pukul 10 malam. aku meminta izin mengundur diri.

Pintu dikuak. Zulaikha baru selesai mandi. Demi terlihatkan aku, dia menikus. Seakan takut dengan aku. Tanpa sepatah kata aku berlalu ke bilik mandi membersihkan diri.

"Sayang, kita solat sunat sama-sama dulu ya sebelum tidur" pintaku selepas selesai membersihkan diri.
Zulaikha agak terpinga namun segera dia mengangguk. Setelah itu, kami bersama-sama menunaikan solat sunat pengantin.

Anis Zulaikha binti Hamdan. Secantik nama si empunya diri. Namun aku tak pasti mengapa dia memilih aku sebagai teman hidupnya.
Dia duduk di kepala katil sambil memeluk diri. Matanya asyik memandangku, memerhati setiap gerak langkahku. Lantas aku mendekatinya. Nampak dia masih ketakutan.

"Sayang, dekat sikit sini." aku meminta dia merapatiku. Zulaikha ikut saja. Kemudian aku mengusap ubun-ubunnya sambil membaca doa dan memejam mata. Doa ini aku belajar daripada seorang ustaz di surau sebelum aku berkahwin. Doa memohon perkahwinan ini dirahmati dan mencapai ketenangan, kasih sayang dan keberkatan. Tatkala aku membuka mata, Zulaikha menangis. Terkejut aku dibuatnya.

"Kenapa ni?"
"Tak ada apa" seraya dia mengelap air matanya.
Akhirnya, aku dapat jugak dengar suara dia. Aku tak pasti dia takut atau malu sebenarnya.
Zulaikha bersuara lagi, "Apa ..nama penuh, ..abang?"

Dalam kegugupan, Zulaikha memberanikan diri. Bahagianya aku mendengar panggilan itu.
"Ibu tak bagi tahu ke?" dia menggeleng.
"Aminuddin bin Ariz. Sayang tahu pasal abang?" aku cuba meneka.
Dia mengangguk kali ni.
"Kenapa pilih abang jugak?" saja aku mengujinya.
"Sebab Ika tahu...abang..abang takkan kecewakan Ika."

Mata kami bertentang. Cepat sekali dia mempercayaiku, meletakkan aku sebagai keutamaannya. Aku beristighfar. Sekaligus mengucap syukur.

"Err..Ika nak tidur dulu ya." pantas dia menarik selimut menutup badannya. Aku tersenyum memahami dirinya yang berusaha keras.

****

"Apa dia, acik?"
"Dua bulan lepas, rumah acik kena pecah masuk. Acik tak ada masa tu. Ika dengan sepupunya di rumah berdua. Mereka tidur masa tu. " Pn Amirah terhenti. Tidak sanggup dia meneruskan kata-katanya.
"Kenapa acik? Apa yang berlaku?"
"Perompak tu bukan saje merompak barang rumah. Dia dah rosakkan Ika! Acik malu nak cakap benda ni. Acik rasa marah dan kecewa apa yang berlaku." Pn Amirah menundukkan kepalanya. Sedih bercampur malu.
Aku terpempan. Hatiku bagai runtuh sedikit demi sedikit.
"Amin, acik bukan nak jadikan kamu sebagai pak sanggup. Jangan salah faham pula. Acik minta kamu naikkan semangat dia balik. Itu aje" pintanya.

Aku keliru. Aku tidak kenal Zulaikha. Jujur apatah lagi ibunya ini. Aku tidak ada hubungan langsung dengan mereka. Tapi kenapa aku?

"Saya rasa lebih elok acik cari orang lain. Saya tak layak." aku sudah berura-ura meninggalkannya.
"Jangan, Amin. Ika perlu kahwin untuk menangani trauma dia. Dia sendiri yang nak kahwin. Dia berusaha memulihkan semangat dia. Tolonglah dia" pintanya lagi.

"Acik tak kenal saya ke? Saya ni tak berguna. Sampah masyarakat. Acik tak tahu ke? Saya tak layak, maafkan saya" aku lelah. Aku tak mahu nama keluarga mereka tercemar kerana aku.

"Ya. Kenal sangat. Sebab acik tahulah acik pilih kamu."

Apa?

****

Mataku terbuka luas tatkala mendengar jeritan kuat di sebelahku. Ika! Pantas aku melihat dia yang sedang menangis dalam tidur. Zulaikha mengigau.
Aku cuba pegang tangannya yang liar.

"Lepaskan aku! Lepaslah!! " menangis-nangis Zulaikha sambil meronta.
"Sayang, ini abang. Bangun, sayang!"
Sedaya upaya aku cuba menenangkan isteriku.

Saat itu juga, ibu masuk ke bilik kami. Terus dia mendapatkan Zulaikha.
"Arrrgghh!! Lepaskan aku!" Zulaikha meronta lagi
"Ibu ni Ika..ini ibu, sayang." perlahan-lahan Zulaikha membuka mata dan mula diam. Dia teresak-esak. Akhirnya Zulaikha tertidur di pangkuan ibunya.

Hatiku dipagut sayu. Adakah setiap malam Zulaikha akan meracau? Dan ibu akan berjaga malam untuk menenangkannya?

"Maafkan ibu, Amin. Ibu main masuk aje tadi" ibu kelihatan serba salah.
"Oh, tak apa ibu. Amin nak ucapkan terima kasih. " Pn Amirah tersenyum tawar.

Zulaikha lena kembali. Wajahnya jelas ketakutan. "Amin, jangan tutup lampu. Ika takut gelap"
Aku mengangguk. Kemudian ibu beredar.

Aku baring semula. Menghadap isteriku yang sedang lena. Simpatiku jatuh padanya. Perlahan-lahan aku cuba memeluk pinggangnya. Namun aku tarik kembali tanganku, takut dia tersedar kemudian mengigau lagi. Aku lantas memejamkan mata.

****

"Boleh kita pindah?" permintaan Zulaikha mengejutkan aku. Terus aku memandangnya.Sudah dua minggu aku di rumah ini. Lepas kerja pun aku pulang ke sini. Kadang bila ada masa aku menjenguk orang tuaku.
Sepanjang tempoh ini juga tidur Zulaikha kerap terganggu kerana traumanya. Zulaikha sudah mula dapat menerima kalau aku yang menenangkannya. Timbul rasa risau aku kalau Zulaikha tidak dapat terima perubahan dalam hidupnya serta berjauhan dengan ibunya.

"Sayang nak ikut abang?"
Zulaikha mengangguk. "Abang tinggal dengan mak ayah abang kan?"
"Tak jugak. Abang ada rumah sendiri tapi jarang ke sana."
"Kat mana?"
"Belakang kedai runcit Ati"
Zulaikha terdiam.

Aku menghampiri Zulaikha. Apabila aku cuba memegang tangannya, dia menarik kembali. Mungkin masih trauma disentuh. Keluhan terlepas.

"Sayang, tak perlu paksa diri ya. Kita tinggal dulu kat sini."
"Sampai bila?"
Aku terdiam. Apa maksudnya?
"Ika nak keluar. Keluar dari ketakutan Ika sendiri. Ika tak larat. Bila Ika boleh sembuh kalau macam ni?" Zulaikha menunduk.
Baru aku tahu. Dia begitu berusaha keras. Zulaikha sememangnya kuat semangat. Walaupun masih dihantui peristiwa hitam dia masih cuba mempercayai insan bernama lelaki.

"Abang, tolong Ika ya?"
Aku menatap matanya. "Ika sanggup? Sanggup terima hinaan orang kampung?"
Zulaikha diam.
"Ika tahukan abang ni siapa dulu?"
"Tapi itu dulu" dia cuba membantah.
Aku mengeluh. "Kalau macam tu abang tanya ibu dulu ya,sayang"

bersambung...

Tuesday, 6 January 2015

Cerpen : Cerita Kita

     Matanya melilau sambil menyedut cappucino ice kegemarannya di kedai Big Apple. Suasana di Jaya Jusco Bukit Tinggi agak hingar-bingar daripada kebiasaannya. Barangkali hujung minggu seperti ini ramai yang datang bersiar. Mungkin juga dengan tujuan melepak bersama kawan-kawan ataupun ada yang ambil peluang untuk dating. Lantaklah, getus hatinya. Kesejukan cappucino ice lebih menggamit perhatiannya daripada mengelamun. Minuman campuran satu per tiga espresso, susu dan buih terasa nikmat di mulutnya. Keasyikannya terganggu oleh gelak tawa sekumpulan remaja di meja belakang. Perasaan meluat mula membenih dalam hatinya.

"Kaulah punya pasal. Yang kau tarik rambut budak tu kenapa? Mengamuklah dia oi..", katanya mengundang tawa lagi.
"Dia memang bendullah. Itu pun dia suka aku lagi tau! Aku tak naklah budak tu".
"Eleh, ke kau pun tersangkut dengan dia ?" mereka ketawa lagi.

     Terasa rimas dengan perbualan itu, Amir bangun dari tempatnya. Baginya, mereka semua bodoh melayan naluri remaja. Hurmm, budak-budak sekarang... hati Amir sekadar berbasa basi. Sambil berjalan matanya mencuci deretan kedai elektronik di situ. Sehinggalah tiba di hadapan kedai Comic Paradise, kakinya berhenti. Lama tak jenguk, hatinya berbisik lalu Amir masuk ke kedai kecil itu. Tangannya membelek mana-mana komik yang belum dibelinya. Serasanya, koleksi komik Naruto di rumah setakat jilid 104. Sebelum keluar, Amir melihat patung-patung anime yang disusun kemas dalam almari kaca. Amir teringat ketika dia ke Comic Fiesta, harga patung anime di sana lebih mahal berbanding di kedai ini.

    Tanpa membeli apa-apa, Amir keluar dari kedai tersebut. Amir teringat bahawa dia perlu beli alat tulis pejabat. Lalu kakinya melangkah menuju ke kedai Popular. Sejurus itu ikirannya melayang. Kenangan dia bertemu dengan Izzat ketika di Sunway Pyramid minggu lepas. Seolah-olah menjadi hobinya, Amir memang gemar menghabiskan masa di mall seorang diri. Di medan selera Arena itulah dia disapa.

"Mir! Lama tak jumpa", teguran itu membuatkan Amir mengangkat muka. Izzat?

    Melihat sedikit kerutan di dahi Amir, Izzat tersengih. Dia pasti Amir ingat akan dirinya walaupun lebih lima tahun mereka tidak bertemu. Mereka merupakan rakan baik sejak kecil di kampung. Apabila masing-masing sudah mula berhijrah ke kota, hubungan mereka terputus seketika.

"Kau buat apa sorang-sorang kat sini?" tanya Izzat sambil duduk di hadapan Amir dengan selambanya.
"Oh, jalan-jalan", Amir jawab pendek. Walaupun teruja dapat bertemu rakan lama, Amir cuba berlagak biasa. Buku yang sedang dibacanya ditutup perlahan selepas menanda di mana dia berhenti.
Izzat sekadar mengangguk. 

"Kau sihat? Masih kerja di Les' Copaque ke?"
"Sihat. Aku dah pindah. Sekarang di Sri Pentas, Damansara."

Amir kembali menghadap minumannya, Neslo. Kemudian mereka diam. Lama. Tatkala minumannya berbaki suku, Izzat bersuara.
"Kau tak balik kampung ke tahun ni? Dah lama kan? Bila nak habis merajuk dengan aku?"

Gurauan Izzat berbalas. Amir ketawa perlahan. Senyumannya lebar. "Aku tunggu kau pujuklah ni." Mereka ketawa. Izzat menggelengkan kepalanya. Amir sudah lima tahun tak balik kampung. Tempoh itu jugalah Izzat tidak berjumpa dengannya. 

"Aku minta suam bagi panas juga. Sudah tu, rasa Milo je lebih. Teruklah kedai ni!" tiba-tiba Amir merungut. 
Macam-macam betullah perangai kawannya nan seorang ini. Izzat sekadar buat bodoh.

"Eh, kau belum habis baca buku ni?" tanya Izzat apabila terlihat buku di hadapan Amir. Ombak Bukan Biru karya Fatimah Busu. Izzat yang pernah baca hasil tulisan penulis terkenal itu mula mengingat jalan cerita tersebut.

"Kau dah baca ke?" Amir tanya kembali.

"Dah. Popular dulu. Ini cuma dicetak baru balik aje" terang Izzat.

"Manalah aku tahu. Ini pun aku pinjam kat kawan. Tapi kau tahulah cita rasa aku. Faisal Tehrani jugak best!"

"1515? Aku pun suka buku tu. Buku baru dia kau dah baca?" soal Izzat.

"Eh, yang mana?" Amir teruja ingin tahu.

"Perempuan Nan Bercinta" kata Izzat sambil tergelak.

Amir mendengus. " Macam tak kena dengan jiwa aku saja"

"Tadi kata Faisal Tehrani jugak best," ajuk Izzat. "Yang ni memang best Amir. Kupasan mantap punya pasal Sunni dengan Syiah".

"Mesti ada percintaan epik dalam karya dia tu", teka Amir.

"Memang pun. Tahu pula kau",mereka ketawa.

Cerita tentang buku tidak pernah membosankan mereka. Seronok dapat kawan yang sama hobi seperti Izzat. Kadang-kadang mereka menjadikan cerita buku sebagai topik kehidupan. Itulah pengikat persahabatan mereka.

"Akhir-akhir ini, aku baca tulisan Pahrol Mohd Juoi. Baguslah dia, motivated", kata Izzat.

"Dia bukan editor kat majalah Solusi ke? Eh, dia tu dikira ustazlah juga. Amboi, ada yang nak jadi ustaz ke ni?" usik Amir. 

Izzat tersengih. "Tak adalah. Aku saja nak baca ringan-ringan pulak. Penat juga nak baca buku-buku berat".

"Hah, memang pun kau. Sampai Perang Salib yang Karen Armstrong tulis tu kau baca. Aku baca sepuluh kali pun tak faham".

"Jangan nak tipulah, Mir. Kau pun macam aku juga. Kan kau pernah baca Hanya Tuhan Mengenal Tenteranya. Cerita apa tu? Wahabbi dengan SAS? Pelik aku. Siapa penulisnya?" Izzat membela diri.

"Hahaha... kalau kau nak tahu, aku dapat migrain sebab buku tu. Tak faham pun", Amir tersengih.

Izzat sedikit terkejut. "Seriously?"

"Err, tapi tak teruk sangat".

"Mir, kau dah 28 tahun kan? Muda-muda dah sakit. Bila kau nak kahwin? Nanti ada yang boleh jaga", usul Izzat. Dia agak risau dengan Amir. 

Cakap hal kahwin, sebab ini jugalah Amir tidak balik ke kampung. Amir yang terdengar kata-kata Izzat terasa rimas. Dia sudah seperti cacing kepansan. Ibunya selalu bising sehinggakan mahu mencari calon untuk Amir. 

"Kau ni tak bestlah! Kenapa buka bab kahwin pula ni? Ngilu telinga aku", Amir membentak.

"Apalah nasib badan kau ni? Nak jadi andartu ke? Tak sayang diri betul. Susah sangat kahwin dengan aku sajalah." Amir tersentak mendengar kata-kata Izzat.

"Merepeklah kau ni," Amir buat muka selamba.

"Aku serius ni. Lama aku tunggu nak cakap dengan kau. Amirah, kau takkan terlepas kali ni," ujar Izzat sambil mengenyit mata kanannya.
Terkejut Amir melihat sahabatnya. Kali ini dia tidak dapat membalas kata-kata Izzat seperti biasa.

    Amir mengeluh berat. Langkahnya menjadi perlahan. Akhirnya, dia berada di hadapan kedai buku Popular. Tiada bayangan lain selain Izzat tatkala dia melihat deretan buku-buku di kedai itu. Selama ini mereka suka berkongsi buku cerita, novel, majalah dan sebagainya. Saat itu juga Amir teringat kata-kata Izzat. 

    Amir tercongok di depan kedai itu agak lama sehinggalah dia dilanggar oleh sebuah kereta sorong bayi. "Cik, maaf!", ucap seorang wanita. Amir sekadar tersenyum. Kemudian dia masuk ke dalam kedai.

    Selepas membaca Nyanyi Sunyi tulisan Maskiah Masrom, dia jatuh hati. Kali ini dia ingin mencari mana-mana buku penulis itu. Kemudian nanti baru dia akan cari alat tulis pejabat. Sedang dia sibuk membelek buku-buku di rak, seseorang menghulurkan sebuah buku di hadapannya menyebabkan pandangannya terhalang.

Sempat Amir melihat tajuk buku itu, Indahnya Perkahwinan dalam Islam. 'Erk, salesman mana yang nak kena penyepak ni',getus hatinya. Amir lantas mengangkat wajahnya. Matanya terpaku melihat lelaki di hadapannya. Izzat!

"Baca ni?" Izzat tersenyum manis. Amir diserbu rasa malu. 
"Sudah tiba masanya 'Amir' depan aku ni bertukar sebagai 'Mirah'. Apa pendapat kau?" 

Amir tersenyum. Lantas dia memandang Izzat. Tangannya mencapai buku tersebut lalu berkata, "Mungkin sudah tiba masanya kita pula buat cerita kita daripada asyik baca cerita orang. Kau rasa?"


Monday, 5 January 2015

Hanyut Aku

Hanyut aku, kekasihku!
Hanyut aku
Ulurkan tanganmu, tolong aku.
Sunyinya sekelilingku!
Tiada suara kasihan, tiada angin mendingin
tiada air menolak ngelak
Dahagaku kasihmu, hauskan bisikmu, mati aku sebabkan diammu.
Langit menyerkap, air berlepas tangan, aku tenggelam.
Tenggelam dalam malam.
air di atas menindih keras.
Bumi di bawah menolak ke atas.
Mati aku, kekasihku, mati aku!

Nyanyi Sunyi Amir Hamzah
Selut Klasik

Subuh

Kalau subuh kedengaran tabuh
Semua sepi sunyi sekali
Bulan seorang tertawa terang
Bintang mutiara bermain cahaya
Terjaga aku tersentak duduk
Terdengar irama panggilan jaya
Naik Gembira meremang roma
Terlihat panji terkibar di muka
Seketika teralpa
Masuk bisik hembusan setan
Meredakan darah debur gemuruh
Menjatuhkan kelopak mata terbuka
Terbaring badanku tiada berkuasa
Tertutup mataku berat semata
Terbuka layar gelanggang angan
Terulik hatiku di dalam kelam
Tetapi hatiku, hatiku kecil
Menangis ia

Nyanyi Sunyi Amir Hamzah
Selut Klasik