Saturday, 31 December 2016

Mister Kak Hana (4: akhir)

Kali ini mereka berkumpul di rumah atuk sahaja. Kak Hana seperti biasa ke kuliah. Malah dia menyatakan kelewatan kepulangannya nanti lantaran ada kerja kumpulan. Mereka berbincang di ruang tamu sementara Aris dan Iman mengikut atuk ke kebun belakang. Satu per satu situasi diterangkan oleh Nana dan Abang Shauqi. Tiada sedikit pun informasi yang terlepas dalam penceritaan mereka. Seperti dijangka, reaksi mereka bukan main lagi terkejutnya. Kak Najwa dan Abang Aki yang sudah tahu awal daripada Nana dan Abang Shauqi kekal tenang. Iza paling kuat jeritannya, memandangkan dia kenal benar siapa lelaki itu.

What the heck… lelaki gila tu?!” jerit Iza. Nad, Aqil, Waqiq dan Zaki masih kekal dengan wajah tak percaya.
“Nama dia Adamlah. Stop calling him ‘lelaki tu’” tegur Abang Aki.
Oh yeah? Sekarang kita kena panggil apa? Abang Adam”, ejek Iza. Bukanlah niat dia mempermainkan teguran Abang Aki tetapi dia sungguh tak percaya Kak Hana boleh sangkut dengan lelaki bernama Adam itu! Nana, Kak Najwa dan Nad buat muka muntah.
“Err…okay sekarang ni cukup-cukuplah dengan rasa tak puas hati ke apa. Kita kena teruskan misi ni. Apa plan kita lepas ni?” Abang Shauqi cuba menenangkan keadaan.
“Pertama, kita keluarkan semua persoalan yang kita ada. Dari situlah, kita boleh set goal baru untuk misi kali ni”, terang Kak Najwa.

Aqil mengeluarkan pen dan kertas. Kemudian menulis persoalan-persoalan yang diluahkan.

1. Sejak bila Kak Hana dan Abang Adam berbaik?
2. Latar belakang Abang Adam.
3. Kenapa Kak Hana boleh suka Abang Adam?
4. Kenapa Abang Adam mendekati Kak Hana? Apa niat dia?
5. Kenapa mereka guna saya awak?
6. Kenapa Kak Hana tak bagitahu kita semua?
7. Apa yang ada pada Abang Adam?

Seriously kita panggil dia Abang Adam?!” bentak Iza. Nad ketawa kecil. Nampak sangat Iza amat tidak menyenangi lelaki itu. Senarai persoalan berterusan hingga nombor 10, tetapi kebanyakkannya hanyalah persoalan kenapa yang sama makna dengan soalan lain. Maka persoalan itu dipotong Aqil. Abang Shauqi dan Kak Najwa merenung tajam Iza, tanda amaran supaya dia tidak terlebih biadap.

“Okay, kita mulakan satu per satu”, Waqiq dan Aqil mengepalai perbincangan ‘persoalan’ mereka.
“Soalan no.1; sejak bila Kak Hana dan Abang Adam berbaik?…sejak bila ya?” Waqiq cuba mengingat mana-mana peristiwa sepanjang dia hidup bersama Kak Hana. Sebagai adik Kak Hana sendiri pun, kembar ini tidak pernah perasan kelibat Abang Adam.
Pass. Kita memang takkan tahu. Diorang aje yang tahu” sambut Nana.
“Okay. Soalan no.2. Latar belakang? Huhuhu”
“Last kami cam dia mungkin kerja di pejabat pos. Posmen…atau kerani biasa?” kata Kak Najwa. Abang Aki mengangguk.
“Tempat tinggal dia dekat kawasan perumahan Taman Utama 4. Rumah teres biasa, kereta Iriz…mungkin dia punya atau orang lain. Entah” Abang Shauqi menambah info sementara Waqiq mencatat apa yang patut.
“Tapi itu hampir 7 tahun yang lepas. Pekerjaan dia sekarang kita kurang pasti” kata Nana pula.
“Oh ya, berdasarkan apa yang aku dengar perbualan dia dengan Pak Lan, Abang Adam tu macam dah lama tak balik sini. Dia berhijrah ke? Kerja tempat lain?” tambah Abang Shauqi.
“Hmm… patutlah Kak Hana happy semacam Ahad lepas. Kekasih hati balik kampung rupanya” ujar Nad.
“Umur?” tanya Aqil.
Masing-masing berpandangan sebelum menggeleng tanda tidak diketahui.
“Okay, soalan seterusnya. Kenapa Kak Hana suka Abang Adam?”
Kali ini tidak dapat dielakkan, masing-masing buat muka hairan. Iza menunduk dengan wajah kesal dan sedih. Kak Najwa dan Abang Aki pula menggelengkan kepala. Nana dan Abang Shauqi tidak dapat mengelakkan senyuman demi menahan tawa yang terbuku dalam hati. Bagi mereka yang menyaksikan insiden gila itu tentunya tidak dapat menerima hakikat dengan tindakan Kak Hana. Nad dan Zaki menggaru kepala.
“Err…okay. Kita pass. Soalan no.4; niat Abang Adam mendekati Kak Hana? Oh my God, ini serius! Kita tak nak Kak Hana disakiti”, ujar Waqiq. Yang lain mengangguk setuju. Tetapi, mereka terdiam. Ada yang cuba untuk berkata sesuatu tapi tak jadi pula.
“Err…kenapa ya?” tanya Waqiq.
“Arrrgghhh…kalaulah kita boleh cari jawapan untuk persoalan ini! Stresnya!” bengang Iza. Ada benarnya kata-kata Iza. Mereka ingin tahu kenapa dan persoalan ini sangat penting seperti yang dinyatakan Waqiq tetapi tiada siapa di antara mereka boleh menjawab apatah lagi petunjuk sikit pun tak ada.
“Nana rasa kita dah boleh tahu goal misi kita kali ini”, tiba-tiba Nana mencelah.
“Apa?” tanya Waqiq.
“Berdasarkan soalan-soalan ni dan jawapan yang kita cuba kemukakan, kita ada masalah dengan personaliti Abang Adam. Maksud Nana, kita kan nak pastikan pasangan Kak Hana adalah yang ideal. Jadi, kita kenalah pastikan Abang Adam itu yang terbaik”, terang Nana. Sememangnya tidak dapat disangkal lagi Nana mempunyai daya fikir analatikal yang tinggi hasil pembacaan yang banyak. Mereka mengangguk setuju.
“Err…pilihan ideal Kak Hana yang macam mana ya? Nad pernah tanya dia tapi Kak Hana cuma cakap orang yang jujur dan kerja keras sahaja”, komen Nad.
“Betul jugak. Saya rasa Kak Hana mesti ada sebab kenapa dia pilih Abang Adam. Err…okay, saya faham kalau ada yang tak puas hati macam mana Kak Hana boleh pilih Abang Adam berdasarkan insiden-insiden dahulu. Tapi kita tak boleh buruk sangka dengan niat Abang Adam mahupun Kak Hana sendiri”, Zaki turut memberi komen. Selepas komen Zaki, masing-masing terdiam. Bermunasabah diri. Kata-kata Zaki teramatlah benar.
“Betul ya, Kak Hana pilih sendiri Abang Adam? Bukan sebab kena paksa ke apa?”, Iza bertanya mahukan kepastian.
“Dan Abang Adam bukan berlakon kan?” tambah Kak Najwa.
“Betul Abang Adam tu kerja keras dan jujur?” tambah Nana pula.
Melihatkan tiada siapa menjawab soalan-soalan tadi, Abang Aki gegas mengambil pen dan kertas daripada Aqil. Kemudian dia membulatkan nama Abang Adam atas kertas itu sambil berkata, “Okay, set. Kita siasat Abang Adam!”. Ketahuilah, sesungguhnya Nad, Aqil, Waqiq dan Zaki sememangnya tidak mampu melawan kedegilan lima sepupu yang sekian lama telah menjadi ‘bodyguard’ tak bertauliah Kak Hana.

“Nak siasat siapa korang kata?” suara keras itu menyebabkan mereka semua berpaling ke arah pintu rumah. Abang Aki, Abang Shauqi, Kak Najwa, Nana, Iza, Nad, Aqil, Waqiq dan Zaki - semuanya- ternganga.
Arrkkkk!!!

-----

Kak Hana menggenggam penumbuk sambil menghantar renungan maut ke setiap wajah di hadapannya. Kerutan di wajah Kak Hana sungguh menakutkan, cukup membuatkan masing-masing terasa badan mereka menggigil. Seolah-olah nyawa di hujung tanduk, mereka tidak sudah berdoa di dalam hati agar Kak Hana tidak menghukum mereka dengan teruk. Kesemua sembilan adik kesayangan Kak Hana duduk sambil menunduk ke bawah di hadapan Kak Hana yang sedang berdiri. Ibarat komander, Kak Hana bertanya keras, “Siapa punya idea buat kerja ni?”. Garang sekali bunyinya.

Masing-masing menikus. Tidak pasti siapa yang memulakannya. Atau mungkin tidak mampu lagi mengingat kembali bagaimana ia bermula kerana terlampau takut. Kak Hana menarik nafas dalam-dalam sebelum mengeluh dengan kuat. Sungguh dia marah, malah terasa seperti mahu sahaja dipijak-pijak mereka ini. Perbuatan mereka boleh dikira melanggar privasi dirinya. Kalaulah dia orang luar yang tidak ada hubungan darah dengan mereka, memang dia saman aje kat mahkamah. Sedikit sebanyak, Kak Hana berasa teramat malu kerana mereka sudah tahu siapa Adam dalam hidupnya. Mungkin belum sepenuhnya, tetapi hubungan dia dengan Adam sudah ketahuan. Kalaulah dia tidak pulang awal tadi, mungkin Adam sudah kena belasah lagi macam dulu sebelum dia sempat mengkhabarkan hubungan mereka kepada keluarga. Namun, dia perlu juga bersikap adil. Penjelasan dari mereka perlu diambil berat sebelum Kak Hana membuat apa-apa keputusan.

Melihatkan tiada jawapan daripada mereka, Kak Hana mengeluh lagi. Budak-budak ni, kecik besar kecik besar je aku tengok, getus hati Kak Hana. “Ha, Aki. Ceritakan sejak bila korang buat kerja tak senonoh ni?” arah Kak Hana. Terenjut bahu Abang Aki kerana terkejut namanya dipanggil. Lagak seperti pelajar sekolah didenda cikgu disiplin saje!

Aki menggaru kepala sebelum menjawab, “Err…sejak minggu lepas?”
“Kau orang intip aku ke?” tanya Kak Hana. Hampir semua menggangguk mengiakan pertanyaan Kak Hana. Kak Hana mengeluh lagi. Sungguh tak percaya dia! Patutlah Aqil dan Waqiq beria tanya lokasinya selalu. Ya Allah! Turunkanlah kesabaran kepadanya.

“Pengintipan pertama kat mana?”
“Kat kedai runcit”, jawab Abang Shauqi memandangkan dialah orangnya.
“Kedua?”
“Perpustakaan akak”, Iza pula menjawab.
“Ketiga?”
“Taman Tasik, Kuala Delta”, Kak Najwa mengambil giliran.
Kali ini Kak Hana seperti teringat yang dia pernah berlanggaran dengan seseorang ketika bertemu Jebat. Jadi, Najwalah orangnya. Patutlah dia lari. Kak Hana membuat kesimpulan.
“Keempat?”
“Restoran…” suara Nana tersangkut-sangkut. Ini dah masuk keempat!
“Kelima?” kali ini suaranya akan dalam. Kak Hana berharap ini yang terakhir.
“Taman tasik tu lagi”, Nana dan Abang Shauqi menjawab. Mata mereka tertutup kerana mereka tahu kali ini adalah waktu Kak Hana bertemu dengan Abang Adam. Takut untuk melihat reaksi Kak Hana. Mata Kak Hana terbuntang mendengar jawapan itu. Bila lagi kali terakhir dia ke sana selain Ahad lepas kalau sewaktu berjumpa Adam? Kak Hana cuba sabar lagi. Nafas ditarik dalam-dalam.

“Kau orang intip Adam jugak ke?”
Jeda.
“Ya ke tidak?” tekan Kak Hana.
“Err…ya”, Abang Shauqi mengaku.
“Ke mana?”
“Rumah dia…dan tasik tu”
“Kenapa kau orang nak intip akak?”
Mereka berpandangan sesama sendiri. Masing-masing cuba membina ayat yang sesuai untuk dijelaskan kepada Kak Hana. Tiba-tiba Waqiq bersuara, “Maaf Kak Hana, kami terdengar akak on the phone hari tu marah-marah. Kami ingat akak ada masalah, jadi kami nak tahu apa masalah tu”
“Masalah apa?”
“Pasal kahwin”
Tersentak Kak Hana mendengar penjelasan itu. Kahwin??? Sejak bila pula dia ada cakap pasal kahwin?
“Tapi rupanya bukan akak yang nak kahwin tapi Abang Jebat, kawan akak tu”, terang Iza. Barulah Kak Hana dapat meneka pokok pangkal ceritanya.
“Lepas tu macam mana kau orang tahu pasal Adam?”
“Nana kata dia dengar kawan akak kata akak dah berpunya. Jadi kami terus mengintip akak sampai hari Ahad lepas”, jawab Kak Najwa.
“Ha, sekarang ni kenapa nak intip Adam pulak? Sebab kes lama tu?”
Mereka semua mengangguk. Kak Hana mengeluh lagi. Alahai, prihatin sungguh mereka semua ni!
“Dah, tak payah buang masa nak intip dia. Macam mana pun dia tu, kau terima je la sebagai bakal abang ipar kau orang”, tersentak mereka mendengar kata-kata Kak Hana yang berani itu. Kak Hana pula sedikit sebanyak terasa malu juga dengan kenyataan berani mati itu tetapi digagahkan jua untuk bersikap serius.
“Err…boleh kami tahu sejak bila akak berbaik dengan dia?” Abang Aki memberanikan diri bertanya


<Imbas kembali - Kak Hana’s POV>

Semester satu sudah sampai ke pertengahan. Kerja-kerja tugasan tidak berhenti mendatang. Lepas siap satu, datang lagi satu. Dengan nak kejar silibus lagi, boleh pengsan aku. Pun begitu, aku bersyukur dapat menumpukan fokus sepenuhnya dalam pembelajaran kali ini. Sesi persekolahan menengah tinggi aku adalah paling mencabar. Di samping belajar, aku terpaksa membantu keluarga mencari nafkah lebih demi menampung kehidupan keluarga besar ini. Mujur SPM aku cukup makan. Keputusan 7A aku sejujurnya sudah layak ke pusat asasi ataupun matrikulasi tetapi aku memilih untuk meneruskan Tingkatan 6 sahaja di sekolah lama supaya lebih dekat dengan keluarga.

“Hana, jadi tak datang petang ni?” tanya Raihana. Dia merupakan rakan kumpulan kerjaku. Selain Raihana, Jun dan Laila juga antara ahli kumpulanku. Kami bercadang ke rumah Raihana dan bermalam di sana untuk perbincangan kerja tugasan yang seterusnya. Esok merupakan hari Sabtu jadi tiada masalah untuk bermalam di sana. Kali ini, kerjanya tidak seberat seperti yang sebelumnya tetapi tempohnya dipendekkan.
“Jadi. Lepas Asar aku datang”, jawabku. Kemudian Raihana menconteng di sudut buku teksku. Tercatat alamat rumahnya dengan tulisan kecilnya. “Okay, jumpa nanti”, Raihana berlalu pergi. Aku menilik alamat itu. Taman Utama 4?

Seperti yang dijanjikan, aku ke sana dengan motosikalku. Ketika aku memasuki kawasan perumahan itu, di pertengahan jalan, aku ternampak seorang wanita tua seperti sedang cuba membuka pintu pagarnya dari dalam dengan agresif. Lagak seperti orang nyanyuk sahaja. Siap menjerit-jerit dengan tutur kata yang tidak jelas. Siapa yang jaga dia? Mana orang rumah lain?

Aku memberhentikan motosikalku kemudian menghampiri pagar rumah itu. Lalu menyapa wanita tua itu. “Assalamualaikum, nenek”, sambil tersenyum aku bertanya lagi “…nenek nak buka pagar ke?” Wanita tua itu memandangku. Wajahnya sedikit relaks berbanding tadi. Tiba-tiba nenek itu menangis. Terkejut aku! Alamak, aku buat salah ke? Err…macam mana nak pujuk?!

“Nek, err…kenapa ni? Janganlah nangis. Err…tak ada orang ke kat rumah nenek?” aku cuba pujuk. Kemudian nenek itu tersedu-sedu cuba menghentikan tangisnya.

“Aku lapar! Aku nak makan. Aku lapar!” kemudian dia mengulang-ngulang lagi betapa laparnya dia. Terkebil-kebil aku mendengar jawapannya. Sah! Memang dia nyanyuk kut. Perangai macam budak-budak aje.

“Eh, err…nenek lapar? Nenek nak makan apa? Saya belikan?” aku cuba lagi pujuk. Hesh, manalah keluarga dia ni? Takkan takde sorang pun kat rumah? Nasib kaulah Hana, siapa suruh kau tegur nenek ni. Kau tanggunglah sendiri!

“Tak nak! Putera raja aje boleh dapatkan makanan aku. Aku tak nak makanan kau”. Arrkkk!!! What the… Eh, eh nenek ni bukan main lagi dia punya demand. Sampai terangkat-angkat kening sebelah aku.

“Okay, okay. Sekarang ni nenek putera raja kat mana?”
“Tengah beli makanan aku. Mana dia ni?”
Baruku tahu dah ada yang belikannya makanan rupanya. Jadi, aku perlu tunggu dialah ni? Sebelum nenek ni buat bising lagi baik aku layan dia. Lalu aku pun duduk bersila di hadapan pagar yang memisahkan aku dengan dia. Aku cuba berborak dengan dia.
“Oh…nenek selalu dapat makanan apa?”
“Chicken chop. Kadang-kadang aku dapat kek”, jawapan nenek itu membuatkan aku tertawa. Betulkah?! Untungnya hari-hari makan chicken chop.
“Uish, sedapnya. Kek perisa apa tu?”
“Kek apanya? Aku makan lempenglah!”
Pulak! Aku menepuk dahi. Sebelum aku terlupa, aku menghantar mesej kepada Raihana memaklumkan kelewatanku.
“Apa tu?” tanya nenek sambil menunding jarinya ke arah telefonku. Aku tersenyum.
“Ni namanya telefon, nek. Kita boleh berhubung dengan orang dari jauh”, kemudian kami berborak seketika. Agak lamalah juga. Beberapa kali dia bising tentang makanan sebab dia lapar, jadi aku terpaksa pujuk lagi. Haih, manalah ‘putera raja’ dia ni?

Kemudian, sebuah motosikal berhenti di sebelahku dan sebelum sempat aku menoleh ke arah penunggang itu yang mungkin ‘putera raja’ nenek ini, aku terasa lenganku ditarik kasar memaksaku berdiri dari duduk.
“Hei, kau buat apa kat nenek aku?!” saat itulah wajah kami bertentangan. Amboi sedapnya mulut dia nak tuduh macam-macam kat aku. Mata kami terbuntang luas. Terkejut!
“Hana?” tanya lelaki itu seperti tak percaya. Aku lagilah tak percaya terjumpa lelaki tak tahu malu ni. Aduh, dalam banyak-banyak ‘putera raja’ kat dunia ni, takkanlah lelaki ni?!
“Adam, nenek lapar”, panggilan nenek itu menyentak kami berdua daripada momen terkejut itu. Hmm, sahlah dia ‘putera raja’ tu. Cepat-cepat Adam membuka pagar itu untuk masuk ke dalam. Aku pula terkebil-kebil melihatnya. Adam ni cucu dia kut?
“Err…Hana, masuklah dulu?”
“Eh, tak apalah. Aku ada hal ni”, aku cuba beredar sebelum nenek itu berkata, “Hei, nak pergi mana? Temanlah aku makan pulak”. Aduh, demand pulak nenek ni. Aku cuba memaniskan muka, “Saya ada kerja, nek. Maaf ya?”. Tiba-tiba nenek itu tersedu-sedan. OMG!!! Seriously?!

Maka aku pun terimalah pelawaan Adam dan masuk ke rumah sambil tanganku dipimpin nenek itu. Tiba di ruang tamu itu, Adam memohon maaf akan keadaan ruang tamu itu yang agak bersepah. Tetapi aku diam sahaja. Aku faham keadaan itu, lebih-lebih lagi menjaga orang tua seperti nenek ini. Kemudian nenek itu menarikku duduk di sofa lusuh. Adam mengeluarkan mangkuk dan sudu dari dapur lalu dia menghidangkan bubur kepada neneknya.

“Err…awak dah makan, Hana?” tanya Adam. Mungkin dia serba salah kerana tidak menghidangkan makanan kepada aku yang sebagai tetamu. Alamak, dia guna saya-awak pulak. Serba salah aku nak bahasakan diri kau-aku lepas ni. Aku mengangguk, “Takpe, saya okay je. Tak perlu hidang apa-apa. Saya…temankan nenek sekejap je.”
“Saya minta maaf pasal tadi”
“Eh?” aku blur.
“Tadi…saya terkasar dengan awak. Saya tak nampak pulak tu awak”, oh lupa pulak.
“Eh, takpe. Bukan salah awak pun”
Kemudian Adam meneruskan kerja menyuap neneknya. Sesekali mereka berborak, melayan perbualan merepek nenek itu. Jauh di sudut hati, aku tersentuh dengan adegan itu. Rindu pada arwah nenekku menyapa lembut di tangkai hati. Tanpaku sedar, aku tersenyum kecil melihat mereka. Adakah Adam seorang sahaja menjaga nenek ini? Kalau tiada sesiapa di rumah macam tadi, bukankah bahaya?

Aku turut membantu Adam sesekali menyapu lelehan bubur di pangkal bibir nenek itu bagi memudahkan kerjanya menyuapkan makanan. Sewaktu kami selesai memberi makan, seorang gadis datang memberi salam sebelum masuk ke rumah.
“Nenek…dah makan ke?” sapa gadis itu dengan ceria. Seorang lagi cucu nenek ini. Aku semakin tidak senang di sini. Sebolehnya aku nak ke rumah Raihana cepat-cepat.
“Hana, ini adik saya. Adila. Dila, ni Hana. Kawan abang”, Adila menghulur tangan untuk bersalaman.
“Hai Kak Hana”, Adila tersenyum manis kepadaku. Aku cuba membalas senyumannya sebaik mungkin. “Hai”
“Err…saya pergi dulu ya. Assalamualaikum,” aku cepat-cepat beredar selepas itu. Eloklah, dah ada yang nak jaga nenek itu buat apa lagi aku berlama-lama di situ. Ketika aku sudah mencapai motosikalku dan menunggangnya, Adam menahanku.
“Hana, err… terima kasih ya. Sebab teman nenek saya tadi. Mesti dia buat bising kan?” ucap Adam.
Aku tersenyum kecil mengenangkan kelakuan nenek itu. “Tak ada apalah. Haah, tapi saya pujuk biasa aje”
Adam terdiam. Dia seperti ingin menyatakan sesuatu. “Saya…err…”, saat ini aku mula buat muka annoying. Cakaplah cepat!
“Kalau awak ada masa, datanglah sini. Eh, maksud saya untuk teman nenek ke? Kalau awak tak keberatan ke, maksud saya kalau awak terasa macam nak datang kan? Err…tapi saya tak paksa. Ikut awaklah, maksud saya…”
“Tengoklah macam mana”
“Ha, tengoklah macam mana yang sesuai dengan awak. Saya tak paksa…” eh,eh mamat ni. Aku pelangkung jugak nanti!
“Ya, ya, ya…saya pergi dulu”, kataku lalu menghidupkan enjin. Mamt ni macam malu-malu pulak dah. Nyampahnya!
“Okay, hati-hati”, aku tersenyum kecil dan berlalu dari situ. Dari cermin sisi, jelasku lihat Adam melambai kepadaku. Kemudian aku tertawa kecil. Well, dia tak adalah gila macam aku bayangkan. Mungkin sewel sikit kut, hahaha!

****

Atuk menuai keledek dari kebun belakang. Aku berhasrat untuk membuat cucur badak dan keria hari minggu itu. Sejak kami tidak lagi mengambil tempahan kuih, jarang lagi kami membuat kuih-kuih seperti ini. Kalau ada permintaan dari sepupu-sepupu atau saudara terdekat, barulah kami dapat mengotorkan tangan ini dengan tepung-tepung kuih.

Tetapi keledeknya banyak sekali. Kuih pun jadi banyak, maka kami agihkan sedikit-sedikit kepada jiran-jiran dan saudara terdekat. Tiba-tiba aku teringatkan nenek Adam. Tapi, makankah dia? Sudah dua bulan aku tidak ke sana, semester satu pun hampir habis. Maksudku, atas sebab apa aku nak ziarah dia? Adam pula sudah tentu aku tidak pernah nampak dia sejak aku tidak lagi ke warung Pak Lan. Entah mengapa aku merajinkan diri ke dapur membuat bubur nasi serta sayur kangkung lalu dibungkus untuk dibawa ke rumah Adam. Dengan kuih-kuih sekali aku bawak, manalah tahu Adila makan kan?

Tiba di sana, aku mengetuk pagar sambil memberi salam. Kemudian, Adila terpacul di balik pintu. Melihatkan aku, dia pun keluar menyambut kehadiranku.
“Kak Hana! Masuklah. Err…tapi abang Adam tak ada. Dia kerja lagi”, kata-kata Adila seolah-olah menusuk perasaanku. Aku mengharapkan Adam ke?
“Err.. tak apalah. Cuma nak bagi ni”, aku menghulurkan bungkusan plastik itu.
“Apa ni? Sedapnya bau. Eh, Kak Hana masuklah. Nenek ada kat dalam. Lagipun lama tak jumpa akak”, aku mengerutkan kening. Sungguh, Adila ni sangat peramah. Berbanding dengan aku yang tersangatlah dingin - bagai langit dengan bumi.

Aku pun masuk ke dalam dan berjumpa dengan nenek. Tak apalah, niatkan hati ziarah orang sakit. Dapat pahala lagi. Tapi, nyanyuk ni kira sakit ke? Hmm, lantaklah. Adila menghidangkan air walaupun aku cuba menolak. Kemudian dia menyuap nenek dengan bubur tadi. Adila berterima kasih atas pemberianku tadi tapi aku hanya membalas dengan senyuman kecil sahaja. Nenek sungguh asyik dengan suapan yang diberikan Adila. Katanya nenek tidak boleh makan kuih-kuih itu tetapi Adam amat menyukai kuih keria. Aku terasa wajahku merona merah yang aku pun tak pasti kenapa.

Setelah itu, kami berborak-borak sambil melayan nenek. Rupanya Adila masih bersekolah menengah dan bakal menghadapi SPM. Muda setahun je dari aku. Adila menyatakan setiap Jumaat hingga Ahad merupakan giliran dia dan Adam menjaga nenek. Hari lain pula nenek dijaga oleh saudara mereka yang lain. Ibu mereka sudah tiada manakala ayah mereka pula kerap kerja di luar kawasan sebagai kelindan lori. Aku sekadar mengangguk sahaja namun tidak pasti sama ada untuk berkongsi kisah aku atau tidak. Namun, aku hanya memberitahu tentang diriku serba sedikit.

Kira-kira 6.30 petang, Adam pulang ke rumah. Terkejut dia melihat kehadiranku. Sebelum menghampiriku, dia menyapa nenek terlebih dahulu dan bertanyakan keadaan dirinya. Seperti biasa, jawapan merepek yang nenek berikan membuatkan kami tertawa.

“Dah lama ke sampai?”
“Erm, bolehlah. Dah senja ni, saya kena balik”
“Eh, cepatnya. Saya baru sampai” aku buat muka toya. Pah tu kalau baru sampai dah kenapa?
“Kak Hana nak solat Maghrib sini dulu pun tak apa. Dila boleh sediakan tempat”, pelawa Adila.
Cepat-cepat aku menggeleng. “Eh, tak apa, tak apa. Lagipun akak naik motor, bahaya balik malam”, kataku.
Sebelum pulang aku sempat mengusik nenek lalu melangkah keluar dari rumah itu sambil ditemani Adam. Adam mengucapkan terima kasih atas kedatanganku namun aku hanya membalas dengan anggukan sahaja.
“Erm, Hana”, panggil Adam. Aku hanya mengangkat kening sebelah tanda ‘apa dia?’.
“Boleh tak saya nak nombor awak?” soal Adam sambil tersengih dengan wajah yang melucukan dan jari telunjuknya menggaru-garu pipi kanannya. Aku hampir ketawa tapi nasib baik dapat tahan.
“Saya tak ada telefon”, bohongku.
“Ouh”, Adam kelihatan kecewa tetapi dia cuba memaniskan muka. Dan saat itu, aku sedar aku tak senang dengan kekecewaannya. “Err…saya gurau je la”, aku cuba membetulkan keadaan. Gurau ke kalau muka aku sebegini serius? Nampak sangat menipunya. Adam terkejut lalu mengerutkan keningnya. Mungkin sukar memahami tindakanku ini.
“014…”
“Kejap,kejap”, terkocoh-kocoh Adam mengeluarkan telefon bimbitnya lalu cepat-cepat menaip nombor. Kemudian, aku mengulang lagi.
“014…tekan-tekan tak dapat”
Kemudian aku tertawa melihatkan wajah Adam yang cemberut itu. Aku sendiri pun tidak menyangka aku boleh buat lawak antarbangsa dengan dia. Ya Allah! Kenapa dengan aku ni?!

Aku berhenti ketawa apabila menyedari Adam sedang merenungku. Serta merta aku terasa malu. Dengan gelabah aku meminta maaf, “Arrk… So-Sorry, sorry. Saya tak sengaja nak mainkan awak”. Adam memalingkan wajahnya sebelum aku perasan wajahnya merona merah. Dia malu ke? Malu sebab apa?
“Err…tak apa”, katanya. Aku mengambil telefon di tangannya lalu menaip nomborku dan meninggalkan missed call.
“Nah. Bye”, lalu aku pun beredar. Sekali lagi, aku nampak Adam melambai ke arahku melalui cermin sisi.

****

Tiga minggu cuti semester, tiga kali juga aku ke rumah Adam pada hari minggu untuk menziarahi nenek. Ya ke sebab ziarah nenek? Entahlah, aku pun keliru dengan diriku sendiri. Sejak itu, hubunganku dengan mereka agak rapat. Nenek juga menyenangi kedatanganku. Dua minggu selepas semester keduaku bermula, pada hari Jumaat pagi, Adam tiba-tiba menelefonku. Jumaat itu merupakan cuti awam jadi aku berada di rumah. Oh ya, sebenarnya ini adalah yang pertama dia menghubungiku walaupun sudah lama mendapat nombor telefonku. Kami tidak berhubung menggunakan mesej atau telefon langsung sejak hari tu. Sama ada dia menunggu aku atau aku yang menunggu dia - yang pasti aku menziarahi rumah itu pun secara spontan mengikut kehendakku tanpa perlu memberitahunya. Adam dan Adila juga tidak kisah tentang hal ini. Jadi, aku agak terkejut dia menelefonku pagi Jumaat itu. Dan aku agak berdebar untuk mengangkat panggilan tersebut.
“Hana, nenek…”

Kali pertama itu yang pastinya bukan sesuatu yang menggembirakan. Aku ke hospital segera dan bersyukur Jumaat itu cuti. Tiba di sana, aku dikhabarkan nenek sudah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tidak mahu mengganggu dan terasa asing, aku sekadar memerhati keluarga Adam dari jauh. Tentunya mereka sedih. Adila menghampiri aku. Seolah-olah memahami kesedihannya, aku memeluk Adila dan dia menangis dalam dakapanku. Suara tangisannya mengusik jiwaku sehingga mampu menjatuhkan air mata yang telah lama aku tahan dari tadi. Perlahan-lahan aku mengusap belakangnya sambil menenangkan Adila.

Mereka menyelesaikan urusan jenazah di sebuah masjid berdekatan. Aku hanya sekadar tunggu dan memerhati dari balik langsir pemisah di tengah-tengah ruangan itu. Sesekali aku berfikir dan mengenangkan kenangan bersama arwah nenek. Saat itu barulah aku tersedar selepas ini mungkin aku tidak ada lagi peluang untuk ke rumah Adam. Neneklah satu-satunya sebab aku ke sana. Kecewa? Entahlah. Aku tak patut rasa seperti itu tetapi kenapalah aku rasa terkilan sekarang?

Aku tak sedar pun urusan jenazah sudah selesai sehinggalah Adam menerpaku. Dia duduk menghadapku dengan jarak yang sesuai. Aku memandang wajahnya, ada kesan merah di bawah matanya dan hidungnya. Adam menangis tadi. Aku cuba melemparkan senyuman walaupun tampak lemah, sekadar memberi kekuatan yang bersisa.

“Hana, saya dan Dila akan berpindah”, kata Adam. Aku terkejut. Tiba-tibanya! Aku menelan liur.
“Saya akan pindah ke pejabat pos cawangan lain. Dila pula akan mencari kerja sementara kat sana sebelum dapat mana-mana tawaran belajar. Ayah saya pun sama”, terang Adam. Aku menunduk. Hati aku terasa macam mencucuk-cucuk. Sedih yang teramat. Kenapa? Kenapa aku rasa macam ni?
“Terima kasih, Hana. Untuk segalanya” kali ini Adam juga menundukkan pandangan. Matanya sayu.
“Sama-sama”, ucapku perlahan kali pertama membalas ucapan terima kasih Adam setelah sekian lamanya. Tidak pasti dia dengar atau tidak.

Pulang dari rumah, aku terus ke bilik dan menangis.

Semester duaku hampir habis. Tapi tiada langsung berita dari Adam. Kadang-kala aku akan menilik nombor telefonnya berkira-kira sama ada mahu menghubunginya atau sekadar menghantar mesej atau tidak langsung. Namun akhirnya aku hanya membiarkan persoalan itu berlalu begitu sahaja. Entah, kadang aku rasa marah dengan Adam sebab dia minta nombor aku tapi tak reti nak gunakannya sebaik mungkin. Kadang-kadang juga aku marahkan diri aku sendiri sebab mengharapkan dia menghubungiku dulu.

Ketika cuti, Makngah membelikan telefon canggih untukku. Zaman dah berubah, orang pakai Whatsapp je katanya. Dari situ, tahulah aku Adam juga sudah memiliki Whatsapp. Tapi macam tak ada harapan je dia nak chat dengan aku. Ya Allah! Hanaaaa!! Kenapa dengan kau ni?!

Genap setahun berlalu. Aku mula lupakan harapanku dan meneruskan pembelajaran seperti biasa. Pada suatu malam hari lahirku, akhirnya Adam memulakan sembang. Tapi aku berasa marah sangat sehinggakan aku tidak mahu membalas mesejnya. Ada ke patut dia tulis, ‘Assalamualaikum Hana. Selamat Hari Lahir. Harap awak baik-baik saje. Dila rindukan awak, dia kirim salam. Jaga diri’. Huwaa!!! Kepala hangguk dia cakap yang rindukan aku tu Adila! Aku rasa nak cekik-cekik aje dia kalau dia di depan aku sekarang. Aku tahu aku mengharapkan dia dan aku tak patut mengharapkan dia tapi aku rasa dia tipu aku. Dan sememangnya malam itu aku tidak membalas langsung mesejnya.

Sejak malam itu, Adam akan menghantar mesej sekali-sekala. Mungkin jarang-jarang sebab dia kata dia sangat sibuk. Dia ada memaklumkan perkembangan kerjayanya. Katanya dia semakin sibuk selepas naik pangkat. Kali ini kerjanya di pejabat dan tapak penghantaran surat untuk diuruskan. Perkembangan Adila juga diberitahunya. Kadang-kadang dia bertanyakan juga tentang aku. Aku macam biasalah, masih dengan egoku. Aku cuba untuk tidak membalas mesej-mesej itu lebih daripada sekadar ‘Ok’, ‘Ya’, ‘Tak’ dan ‘Baik’.

Walaupun sedih sebab dia jarang menghantar mesej, jauh di sudut hati aku gembira kerana dia berusaha keras dalam kerjanya. Maklumlah, dia terus bekerja selepas SPM tanpa menyambung pelajaran di mana-mana. Melihatkan dia berjaya berada di tahap itu pada usia muda amatlah membanggakan. Pun begitu dia masih cuba menanyakan keadaanku - yang mana aku pulak jawab acuh tak acuh. Mujur dia bersabar melayan egoku. Aku pun tak pastilah lelaki manalah yang boleh sabar layan perangai aku selain dia?

Ketika aku hampir habis tahun kedua pengajianku, Adam menelefonku suatu malam. Lepas sahaja aku menunaikan solat Isyak, secara tepatnya. Masa tu Tuhan je tahu betapa gelabahnya aku untuk membuat keputusan sama ada mahu angkat atau tidak. Berpusing-pusing dalam bilik sambil pegang telefon, memandang tepat ke arah skrin. Namanya tertera! Aku tak mimpi, aku tahu! Tapi sumpah rasa gelabah dan…malu? Apahal malu pulak?!

Lambat-lambat aku mengangkat panggilan itu. Mataku terpejam sambil mengetap bibir. Malunya! Tak tahulah kenapa. Suaranya di sebalik talian menyapa. Aku hampir lupa akan bagaimana suaranya setelah sekian lama kali pertama dia menelefonku dahulu. Ah, Hana! Itu dahulu. Sekarang ni kau nak jawab ke tak salam dia ni? Sempat pulak aku mengelamun.

“Ehem, ehem. Waalaikumussalam”

Kami berborak sekejap sahaja. Adam cuma mahu memberitahu bahawa hujung minggu ini dia dan Adila ingin berjumpa denganku di tasik. Jadi, dia hanya ingin menanyakan persetujuanku. Aku bersetuju sahaja memandangkan sudah lama tidak bertemu dengan mereka. Malam itu, aku sukar melelapkan mata!

Ahad itu, Aqil, Waqiq dan Nad ke rumah Maklang kerana Maklang baru sahaja pulang dari Langkawi. Adik-adikku teruja sangat nak makan coklat jadi mereka ke sana dibawa atuk. Sebelum aku keluar pergi ke tasik, aku sempat makan tengah hari bersama mak dan ayah. Tapi, belum sempat aku bersiap sepenuhnya, sebuah kereta menghampiri rumah. Aduh, ada tetamu pulak. Siapalah tu, bad timing betul. Buat aku serba salah pula nak tinggalkan rumah kepada mak dan ayah begitu sahaja.

Mak menyambut tetamu itu sementara aku memakai tudung. Setelah itu, aku menyiapkan teh o panas dan menyusun cawan dia atas dulang. Tiba-tiba mak masuk ke dapur dan berkata dalam nada mengusik, “Hana tak cakap pun ada orang nak datang. Kalau tahu boleh siapkan juadah”. Aku memandang pelik kepada mak. Aku tak faham apa yang dia cakap.
“Apa bendanya mak? Siapa kat luar tu?”
Mak buat muka annoying. “Boyfriend kaulah”
Terbuntang mata aku mendengar kata-kata mak. Siapa yang memandai menipu mak aku yang dia tu boyfriend aku ni ?!  Segera aku ke tepi pintu masuk dapur untuk mengintai tetamu di hadapan. Lagi terbuntang mata aku rasa macam nak terkeluar biji mata aku! Adam?!

Oh my God, apa dia dengan keluarga dia buat kat sini? Kenapa dia datang rumah pulak? Kata nak jumpa kat tasik? Dengan Adila aje berdua? Aku tak ingat pun dia ada cakap pasal nak datang rumah?Aku tak mampu berfikir dengan rasional. Apa aku nak buat? Apa aku nak buat? Apa aku nak buat??! Tergaru-garu kepalaku.

Aku tersentak bila mak menyiku aku. Dia mengajak ke ruang tamu, menyambut tetamu di hadapan. Dengan malunya aku ikut mak dari belakang. Tapi, masih cuba untuk memaniskan wajah dengan menarik nafas dalam-dalam. Aku menghampiri Adila dan gadis itu kelihatan sungguh gembira menyambutku. Di sebelahnya, seorang wanita kelihatan sebaya mak yang merupakan makcik mereka. Lelaki tua di sebelah Adam pula rupanya ayah mereka. Aku jadi gugup.

Ayah menanyakan tujuan kedatangan mereka. Dan aku tak tipu aku hampir pengsan bila aku mendengar jawapan mereka - merisik Hana!

Adila mengusap-usap tanganku sambil tersenyum manis kepadaku - yang berjaya ‘menghidupkan’ aku sebelum aku betul-betul pengsan. Jantung aku berdebar-debar sangat rasa nak pecah. Aku jadi tak terkata, kaku, pening-pening lalat, badanku menggigil dan terasa kakiku sejuk. Aku langsung tak berani nak pandang Adam apatah lagi ayahnya. Makcik sebelah Adila pun aku belum pasti untuk memberi respon atau tidak.

Mak memegang tanganku lembut sebelum bertanya, “Hana ada yang berpunya ke?” Ya Allah, malunya! Aku tunduk je muka sambil menutup muka dengan tangan kiriku. Memang tak berani nak pandang sesiapa!
Aku menggeleng. Kemudian mak tanya lagi, “Hana kenal ke Adam ni?” kali ni aku mengangguk. Masih menutup wajah. Aku rasa Adam tengah gelakkan aku. Tak guna betul!
“Hana…setuju tak kalau Adam berhasrat untuk terus bertunang dengan Hana?” saat ini pandanganku kelam dan aku betul-betul pengsan.

*****

‘Baru tunang aku dah pengsan. Kalau dia ajak kahwin aku tak tahulah masa tu aku jadi apa’, Kak Hana ketawa dalam hati apabila mengenangkan peristiwa itu. Sudahnya dia dan Adam akhirnya mengikat tali pertunangan. Perkara ini selain mak dan ayah, yang tahu cuma atuk dan makcik-makciknya. Namun, atas permintaan Kak Hana, dia mahu menyembunyikan perkara ini daripada adik-adiknya dan sepupu-sepupunya.

Pertamanya, mereka tersangatlah prihatin sehingga semua perkara dalam hidupnya mereka inginkan yang terbaik untuknya. Semasa memilih fakulti ketika mengisi borang pun mereka gigih mencari maklumat di internet memastikan pilihannya tepat. Baru tanya cadangan jenama komputer riba mana yang bagus, mereka sudah pun belikan sebuah untuknya! Kak Hana tidak pasti mengapa walaupun dia selalu menolak tawaran-tawaran mereka. Jadi, Kak Hana tidak mahu mereka memilih bulu pula dengan siapa dia jadikan pasangan hidup.

Keduanya, mereka kenal Adam tu! Mahu tak gila mereka nanti kalau dapat tahu pasal Adam ni. Habislah Adam kena soal siasat sampai ke lubang cacing pun mereka akan cari.

“Haah kak. Macam mana akak berbaik dengan dia?” Iza mengulang soalan Abang Aki. Kak Hana tersenyum sinis. Wajahnya relaks sedikit berbanding tadi.

“Adalah”, lalu Kak Hana berlalu pergi ke dapur untuk makan. Dia terasa lapar.
“Alaaaaa…” dari jauh terdengar suara keluhan mereka semua. Kak Hana hanya ketawa.


TAMAT

A/N: Yeayyyy habis jugak akhirnya! Bersengkang mata aku buat cerita ni hahahaha!! Gigihnya aku alahai... Kepada yang wondering universiti mana Kak Hana masuk, anggap je lah mana-mana. Memang saje come out nama tempat Kuala tu. Dan, ada satu scene Makngah tanya Kak Hana pasal calon, itu adalah lakonan dia. Aku dah malas nak buat statement ni kat mana-mana tempat. Yang pastinya Maklong dia buat muka annoying tu kira jadi hint lah jugak. Apa pun, terima kasih membaca. Aku akan baca juga dari semasa ke semasa dan akan ubah beberapa scene sikit jika perlu. Arigatou gozaimasu (/^o^)/