Fasa Pengintinpan 1
Hari berganti hari, Aqil dan Waqiq bersikap seperti biasa. Cuti sekolah selama dua minggu baru bermula. Di rumah, mereka berborak dengan Kak Hana dan Nad seperti selalu cuma mereka sering menanyakan Kak Hana mengenai rancangan hariannya. Buat apa hari ini? Lepas kelas akak ada apa? Akak ada pergi mana-mana? Akak tak jumpa kawan ke hari ini? Soalan-soalan ini kedengaran sahaja seperti mengambil berat akan Kak Hana namun Kak Hana berasa agak rimas. Seolah-olah kembar ini ada sesuatu yang diminta. Malah, mereka seolah ingin Kak Hana keluar dari rumah sekiranya tidak ada kerja di rumah! Kak Hana sesekali bertanya juga kalau-kalau kembar ini inginkan sesuatu atau meminta Kak Hana membelikan apa-apa darinya jika dia keluar tetapi mereka menidakkan sahaja. Sudahnya, Kak Hana buat bodoh dengan pertanyaan mereka dan mengganggap tiada apa-apa.
Pernah suatu petang Kak Hana memaklumkan dia akan ke kedai sebentar, bertubi-tubi soalan dari kembar itu. Kat mana? Dengan siapa? Nak buat apa? Nak beli apa? Kak Hana makin pusing. Dia hanya ingin membeli bahan membuat dadih sahaja dan apabila ditanyakan jika mereka ingin mengirim apa-apa barang, tidak ada pula. Tetapi apabila Kak Hana keluar sahaja dari rumah, cepat-cepat hal itu dimaklumkan dalam kotak sembang ‘Misteri Kak Hana’. Apalagi, bergegas Abang Shauqi ke sana. Walaupun setiap satu dari mereka tahu mereka mungkin tidak akan dapat apa-apa petunjuk waktu itu, mereka tidak pernah kesal untuk menggunakan masa mereka mengintip Kak Hana demi memastikan kebahagiaan Kak Hana.
Seperti dijangka, Abang Shauqi pulang dengan tangan kosong. Kak Hana hanyalah membeli barangan dapur di sebuah kedai dan dia berseorangan sahaja. Namun itu tidak mematahkan semangat mereka semua untuk meneruskan rancangan mereka. Demi kebahagiaan Kak Hana yang mereka sayangi, mereka akan terus berusaha kerana mereka yakin Kak Hana layak mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Hal ini kerana mereka semua tahu, Kak Hana dan Maklonglah yang banyak membantu mereka ketika mereka kecil.
Kak Hana pulang lewat suatu hari. Selepas kuliah, dia dan kumpulan kerjanya mengadakan perbincangan sehingga petang. Hal itu sudah dimaklumkan kepada Aqil dan Waqiq yang seperti maklum sibuk bertanyakan rancangan hariannya. Waqiq mengkhabarkan perkara itu di dalam kumpulan sembang mereka dan menyerahkan tugas pengintipan kepada Abang Shauqi. Kali ini dia ditemani Iza yang kebetulan baru selesai kerja rumahnya. Walaupun sekadar perbincangan kumpulan, mereka tidak mahu terlepas peluang kalau-kalau misteri ini ada berkait dengan rakan kumpulan Kak Hana juga. Iza berpura-pura menelefon Kak Hana bertanyakan tentang atuk. Sengaja bertanyakan lokasi Kak Hana, tahulah Iza bahawa Kak Hana sedang berada di perpustakaan universitinya. Usai sahaja Iza mematikan talian, mereka bergegas ke sana. Dengan berhati-hati, Abang Shauqi dan Iza memasuki perpustakaan selepas memakai topi serta cermin mata hitam bagi mengelakkan mereka diketahui Kak Hana.
Tingkat satu sudah diperiksa. Kak Hana tiada di situ. Mereka ke tingkat dua. Namun tiada juga. Atas sekali, di tingkat tiga - tiada juga. Pelik. Mana pula Kak Hana ni? Abang Shauqi dan Iza tidak berputus asa. Mereka memeriksa lagi. Ketika hendak turun ke tingkat dua, Kak Hana dan kawan-kawannya sedang menuju ke sebuah meja di tingkat dua itu. Perlahan-lahan mereka mengekori kumpulan itu dengan jarak yang selamat. Duduk sahaja kumpulan itu, mereka meneruskan perbincangan projek. Abang Shauqi dan Iza mengambil buku besar dari sebuah rak dan duduk berdekatan dengan kumpulan itu tetapi membelakangi Kak Hana.
Proses pengintipan berjalan lancar tetapi agak lambat. Kak Hana dan kumpulannya begitu serius dengan perbincangan menyebabkan Abang Shauqi dan Iza menjadi bosan. Sehinggalah tiba pukul 5 petang, mereka mula beredar satu per satu. Kak Hana dan seorang rakan perempuannya yang beredar dulu. Dengan lagak yang cuba dibiasakan, Abang Shauqi dan Iza mengekori mereka perlahan. Sebaik sahaja turun ke tingkat satu mereka mendengar perbualan Kak Hana dan rakannya.
“So, Hana. Jadi ke kau jumpa dia nanti?”
“Entahlah Mia. Aku pening jugak ni. Aku pun tak faham kenapalah dia tak cari perempuan lain aje. Aku ni dahlah busy, tak kuasa aku nak layan dia” balas Kak Hana.
“Maybe dia tak biasa dengan perempuan kut, kau kan kasar macam lelaki. Kau tolong je lah dia tu. Kesian pulak aku tengok”
“Tengoklah macam mana. Aku gerak dulu ya. Dah lewat ni.”
Abang Shauqi dan Iza berpandangan, menghantar reaksi wajah yang penuh kekeliruan.
////
“Hmm… mari kita fikirkan kebarangkalian”, ujar Nana sambil menggosok dagu kecilnya. Matanya tertutup dengan gaya berfikir.
“Okay, sekarang ni Kak Hana nak tolong orang tu. Tapi kenapa dia marah-marah masa on call dengan orang tu? Satu lagi, apa pula kaitan duit RM10 ribu dengan mereka?” Abang Aki mengeluarkan persoalan.
“Kak Hana mana pernah marah-marah orang lagi-lagi yang minta tolong daripada dia,” ujar Waqiq.
“Mungkin ceritanya macam ni- Orang tu nak minta tolong Kak Hana, dia nak pinjam duit Kak Hana sebab dia nak kahwin,” Iza mengeluarkan buah fikirnya.
“Ish, nak kahwin pun mintak duit orang. Mintaklah bank”, Kak Najwa membidas.
“Mungkin dia ada problem dengan bank so dia minta Kak Hana duit. Sebab tu Kak Hana marah-marah,” tambah Iza.
“Mungkin juga.”
Mereka terdiam lagi. Memikirkan lagi kebarangkalian yang lain.
“Jangan-jangan orang tu mintak Kak Hana kahwin dengan dia dan dia bayar RM10 ribu tu kat Kak Hana! Oh tidak! Kak Hana kena kahwin paksa ke?!”, Nana seperti biasa terpengaruh dengan novel dan drama melayu mengeluarkan pendapat yang kurang logik. Tanpa disangka-sangka kakaknya, Kak Najwa mengetuk kepala Nana. “Ish, kau ni. Tak masuk akal betul”.
“Waqiq, Aqil. Kau orang kena korek lagi informasi. Nanti cuba tanya benda-benda pasal kahwin ni kat dia” ujar Abang Shauqi.
“Eh?! Macam mana tu?”
“Ala, macam dia ada boyfriend ke, bila nak kahwin ke, ada calon ke tak. Macam tu lah”, tambah Abang Aki. Mereka berdua ni memang sentiasa rasional dan bernas pandangannya. Waqiq dan Aqil berpandangan kemudian mengangguk kepada mereka semua. Begitulah mereka yang gigih menyelesaikan misteri Kak Hana ini.
Waqiq dan Aqil pulang ke rumah selepas dihantar oleh Abang Aki. Kepulangan mereka disambut atuk yang sedang berada di beranda rumah.
“Kak Hana ada kat dalam ke Tuk?”, tanya Aqil.
“Dia keluar. Katanya ada hal”, jawapan atuk membuatkan mata mereka terbuntang. Alamak, terlepas!
“Dah lama ke?”
“Baru aje. Kenapa? Kamu berdua dah makan? Kak Hana kau baru lepas masak”, ujar Atuk.
“Err… atuk tahu tak dia ke mana?”, Waqiq cuba mengorek info.
“Entah. Tak tanya pulak.”
Aiseyman! Cepat-cepat Aqil menaip dalam kotak sembang Whatsapp mereka memaklumkan pemergian Kak Hana.
////
“Hello, akak. Akak kat mana?” Waqiq menelefon akaknya.
“Kat luar ni. Ada hal. Ada apa?”, ujar Kak Hana.
“Err… Waqiq ingat nak minta kirim baranglah”
“Haa, apa dia?”
Ish, bagi je la tau kat mana. Macam mana ni?, Waqiq menjerit dalam hati.
“Err…akak kat mana? Kalau jauh tempatnya takpelah. Nanti Waqiq minta Abang Shauqi hantarkan” Waqiq sengaja memberi alasan. Padahal kalau dekat pun, boleh sahaja minta tolong Abang Shauqi.
“Oh, akak ada kat Kuala Delta”.
“Kuala Delta mana?”
“Hmm? Kawasan taman tasik. Nak apa? Kalau balik akak singgah je la mana-mana”
Fuh! Akhirnya. Waqiq tersenyum.
“Err…belikan pen biru dengan kertas A4. Dah habislah kat rumah”
Jawapan Waqiq menyebabkan Kak Hana keliru. Permintaannya sangat mudah tapi kenapa sampai beralasan minta tolong Abang Shauqi? Sedangkan dengan ibu mereka pun Waqiq boleh kirim barangseperti itu. Dari mana datang pasal Abang Shauqi, ya? Oh, sebab pasal tempat. Kak Hana berfikir sejenak. Waqiq beria ingin tahu lokasinya. Ini menambah keraguan di hati Kak Hana. Seperti mengesyaki sesuatu, Kak Hana cuba bertanyakan beberapa soalan.
“Hmm…okay. Kenapa tak minta tolong ibu je? Akak mungkin balik lewat.”
Waqiq terdiam. Eik, tak pernah-pernah Kak Hana berkira dengan mereka selama ni. Kenapa dia tanya tiba-tiba ni?
“Erm… akak tak cakap pun balik lewat. Ingatkan akak keluar pergi kedai aje. Hehehe”, kalau Kak Hana nampak wajahnya yang sedang sengih palsu ni memang terbongkarlah rancangan mereka!
“Oh, tadi bukan kau orang keluar dengan Abang Aki ke? Kau orang pergi mana?” tanya Kak Hana lagi. Walaupun berbunyi nada merajuk-kerana keluar berjalan tanpa mengajak Kak Hana- namun Waqiq tak merasakan Kak Hana merajuk. Sebaliknya dia merasakan Kak Hana seolah dapat menghidu sesuatu. Tetapi Waqiq cuba menenangkan hati. Mungkin Kak Hana cuma mengambil berat akan mereka.
“Keluar makan. Tapi Abang Aki sebenarnya nak ajak akak tapi dia kata takpelah sebab Kak Najwa dengan yang lain tak dapat datang pun”, bohong Waqiq. Aqil yang sedari tadi mendengar perbualan mereka memandang pelik. Apa kes ni sampai lama sangat nak tahu lokasi Kak Hana?
Waqiq membuat isyarat kecemasan kepada Aqil. Dengan telepati kembar, Aqil memahami maksud Waqiq. Segera dia menjerit dari jauh, “Waqiq, atuk panggil!”
“Ha? Okay! Kak Hana, bye!”
Klik.
Kak Hana memandang telefon bimbitnya dengan kerutan di wajahnya.
“Kau kenapa lama sangat? Kak Hana kat mana?” cepat-cepat Aqil bertanya.
“Kuala Delta. Aku syak Kak Hana macam tahu-tahu aje. Dia tanya aku macam-macam pulak!”
“Kau biar betul?!”
Tanpa menunggu lagi seminit hatta sedetik pun, Aqil memaklumkan hal itu di dalam kumpulan sembang Whatsapp.
///
Kali ini giliran Kak Najwa mengekori Kak Hana. Dia mengenakan cardigan labuh serta selendang labuh untuk menutup separuh wajahnya. Bersertakan topi hitam dan cermin mata gelap, dia mencari-cari Kak Hana di kawasan taman Kuala Delta itu. Taman tasik itu agak luas, namun petang itu tidak ramai orang lagi tiba di situ. Kak Najwa pantas mengecam Kak Hana yang sedang duduk di sebuah bangku batu dengan seorang lelaki. Terkejut bukan kepalang lagi apabila Kak Najwa melihat mereka. Mungkin inilah lelaki yang mereka tercari-cari itu? Mungkinkah Kak Hana kena peras ugut? Dipaksa kahwin? Tak, mungkin tolong aje kut. Pelbagai andaian dan kebarangkalian yang bermain dalam mindanya. Inilah masanya, peluang bagi Kak Najwa mendapatkan informasi atau sekaligus menyelesaikan misteri Kak Hana.
Kak Najwa segera mendekatkan diri dengan pasangan itu. Dia buat-buat melalui belakang mereka dan memperlahankan langkahnya. Susah juga ni, kawasan mereka agak terbuka dan tiada tempat menyorak yang sesuai. Lebih-lebih lagi, dia perlu mendegar butiran perbualan mereka tanpa disedari Kak Hana. Tampaknya mereka berborak seperti biasa tetapi Kak Najwa perlu tahu butirannya. Wajah Kak Hana biasa-biasa. Kak Najwa mula menyangka lelaki itu mungkin teman lelaki Kak Hana tetapi reaksinya yang membosankan seolah-olah membidas andaiannya sendiri. Kak Hana tidak pula marah-marah, maksudnya lelaki ini mungkin tidak pun memaksanya apa-apa. Habis, apa yang berlaku sebenarnya? Siapa kahwin siapa? RM10 ribu? Tolong?
“Itulah, Hana. Aku pun tak sangka. Jodoh agaknya”
“Baguslah kalau macam tu. Bila nak beli cincinnya?”, soal Kak Hana. Terenjut bahu Kak Najwa mendengarnya.
“Esok. Hana ikutlah sekali ya. Aku tak pandai pilih sendiri. Please”
“Hahaha. Okay je kut”, tanpa disangka Kak Najwa, Kak Hana dan lelaki itu bangkit dari tempat duduk mereka lantas terlanggar Kak Najwa. OH MY GOD! Matilah aku. Kak Najwa menundukkan badannya, konon-konon akibat perlanggaran tadi sedangkan dia cuba menyembunyikan wajahnya dari pandangan Kak Hana. Cepat-cepat dia menutup separuh bawah hidung dengan selandang labuh tadi.
“Eh, sorry!” spontan Kak Hana berkata.
Kak Najwa yakin dia akan diketahui kalau dia membalas ucapan maaf itu dan dia juga bukanlah pandai sangat menyamar. Kak Hana dengannya paling dekat, sudah bertahun tinggal bersama, gerak-geri badannya dan suaranya pasti mudah dicam oleh Kak Hana. Satu sahaja pilihannya kini - lari!
Terkejut Kak Hana apabila wanita itu berlari begitu sahaja tanpa memandangnya. Ucapan maafnya juga tidak dibalas. Walaupun wanita itu menutup wajahnya dengan selendang labuh dan cermin mata gelap, Kak Hana seolah-olah mengenali wanita itu. Wajahnya memaparkan reaksi pelik.
Ketika di dalam kereta, Kak Najwa memberi laporan pengintipannya dalam kumpulan sembang mereka. Ramai juga yang mengecam kecuaiannya namun misi pengintipan mereka tidak habis di situ. Kak Najwa melihat dari jauh Kak Hana dan lelaki itu memasuki sebuah restoran. Kali ini mustahil baginya untuk mengintip lagi kerana tidak mungkin baginya memakai pakaian yang sama. Nana menyambut tugasan ini. Dia yang baru sahaja tiba di Kuala Delta itu segera ke lokasi yang diberitahu oleh kakaknya. Dengan buku di tangan, Nana berpura-pura membaca di sebuah meja, membelakangi Kak Hana. Topinya ditundukkan sedikit, menutupi separuh cermin mata gelapnya.
Rupanya bukan mereka berdua sahaja di restoran itu. Beberapa minit kemudian, dua lagi rakan mereka tiba untuk menyertai makan petang itu.
“Tahniah Jebat! Tak sangka aku kau dah nak kahwin”, ujar seorang rakan lelakinya.
“Terima kasih”
Tahulah Nana nama lelaki itu Jebat. Nana mengeluarkan telefon menghantar informasi terbaru kepada mereka.
***Misteri Kak Hana***
Abang Aki - Uiks, apa klasik sangat nama
Iza - Jap, so kak hana mmg kahwin la dgn lelaki tu?
Nana - Entah. Tak dengar lagi.
Kak Najwa - Maybe weh!! tadikan dah cakap pasal cincin!
Iza - OMG!!
Abang Aki - Chill chill. Nana kau buat dulu kerja kau
Nana - Roger!
********
********
Kak Hana dan rakannya berborak seperti biasa. Nana teruskan mendengar. Sambil-sambil itu, Nana melayan akaun Instagram. Ketika itulah, ideanya datang menjelma. Dia sudah tahu nama lelaki itu Jebat, maka dia akan mencari akaun miliknya melalui senarai pengikut Instagram Kak Hana. Namun, sayang sekali akaun Jebat bukan akaun terbuka, dia tidak dapat melihat foto-foto pemilik akaun tersebut. Nana menghentikan misi stalking itu.
“Kau orang bila pulak?” tanya Kak Hana.
Rakan perempuannya menyahut, “Eh, eh tanya orang pulak. Tunggu kau dululah. Hahahaha!”
“Aku belajar lagi ngok. Lepas dapat kerja nantilah baru fikir”
Nana sudah mengagak. Kak Hana bukannya kahwin dengan lelaki bernama Jebat itu. Seketika dia merasakan tindakan mereka ini hanya andaian semata-mata. Mungkin Kak Hana hanya membantu Jebat sahaja. Sebagai peminat novel dan drama, Nana dapat menganalisis situasi dengan cepat. Nana mengeluh. Terasa sia-sia pula rancangan ini. Mungkin dia dan sepupu-sepupunya terlebih reaksi. Mungkin juga mereka hanya terlebih risau. Kalaulah Kak Hana tahu apa yang mereka lakukan ni dibelakangnya, matilah mereka semua!
“Eleh, takkan kau tak ada calon pulak. Mamat hari tu amacam?” usik Jebat.
“Uish, tak ada apa-apalah! Kenal pun tak”
“Eh, kau tak tahu ke Jebat? Hana dah ada yang punyalah! Sebab tu aku tunggu dia kahwin dulu. Ha, dia tak cakap apa-apa ke Hana?” rakannya memecahkan rahsia. Wajah Kak Hana berubah kelat, bengang dengan mulut tempayan rakannya yang satu itu. Jebat pula terkejut mendapat berita itu.
“Seriuslah Hana? Hahaha patut aku ajak kau naik pelamin sekali dengan aku aje. Jimat duit buat kenduri. Hahaha!” usik Jebat lagi.
“Ish dahlah! Aku tak nak cakap pasal tu” marah Kak Hana.
“Eleh, marah konon. Garang sangatlah kau ni Hana. Macam manalah lelaki tu boleh nakkan kau” mereka semua ketawa. Nana pula hampir tersedak!
***Misteri Kak Hana***
******
Fasa pengintipan 2
***Misteri Kak Hana***
***Misteri Kak Hana***
Nana - kita ada masalah baru !!!
Waqiq - Apa???
Abang Shauqi - ???
Nana - ok. Lemme explain first. Jebat dengan k.hana seriously takde apa2. yang nak
kahwin Jebat sorang aje. K.hana cuma tolong dia. Ok, nana rasa kes tu da settle. Tapi tadi nana dengar yang k.hana dah berpunya!
Kak Najwa - biar betik!
Aqil - eeeehhhh !! tak pernah pulak perasan.
Abang Aki - sape duh?
Iza - omg! Sape?!
Nana - nana tak tahu. T^T tapi pasal duit tu nana rasa takde kaitan dgn k.hana.
Iza - ok. so kita kena carik la sape lelaki tu?
Kak Najwa - hmm yela kot. Takkan lah nak bagi k.hana kahwin dengan tah sape2.
Abang Aki - kita jumpa weekend ni.
Aqil - Yosh!
Abang Aki - kau da balik ke nana? Waqiq dgn aqil jangan lupa tugas korang.
Waqiq - no problem.
Nana - dah. Ok, kita jumpa nanti.
******
Fasa pengintipan 2
Zaki, Iman dan Aris sudah menghabiskan cuti sekolah selama seminggu mereka di rumah sahaja. Mereka berhasrat ingin menziarahi atuk di Kuala Petang pula minggu itu. Kakak mereka, Iza berada di rumah Kak Najwa dan Nana kerana bersekolah di tempat yang sama dengan Nana. Sedikit sebanyak, mereka rindu juga akan kakak mereka itu. Maklang bersetuju akan menghantar mereka petang Jumaat itu ke sana. Kak Hana dan Maklong sudah dimaklumkan. Seperti biasa, mereka menyambut kehadiran saudara mereka itu.
“Zaki !” jerit Waqiq. Aqil dan Waqiq berlari mendapatkan Zaki. Mereka bertiga tersenyum gembira dan bergelak ketawa setelah berjumpa. Lantaran di usia yang sama, Zaki paling rapat dengan kembar ini dan mereka sering bersama. Makan malam pada Jumaat itu cukup meriah. Selain daripada mereka bertiga, Paklong, suami kepada Maklong juga pulang. Zaki juga mengajak Kak Najwa, Nana dan Iza datang ke rumah itu untuk makan bersama.
Selepas makan malam, Zaki berborak dengan kembar dua itu. Pelbagai topik disembang mengundang ketawa daripada mereka bertiga. Zaki cukup seronok dapat bertemu mereka setelah sekian lama sejak cuti sekolah ketika perayaan tahun baru cina.
“Kenapa kau tak balik minggu lepas, weh?” tanya Aqil.
“Ibu aku ada hal. Lagipun ibu suruh kami habiskan kerja rumah dulu. Haha sorrylah”, jawab Zaki.
“Hmm… itulah, kau dah terlepas cerita hot. Ada benda besar berlaku!”
Zaki memandang pelik. Sejak bila pula mereka berdua ni suka bergosip? Kalau ada benda nak diceritakan pun, biasanya mereka cerita macam biasa sahaja.
“Amende? Lain macam je aku dengar”
Aqil dan Waqiq tersengih sumbing. Kemudian mereka berjalan ke arah Iza yang berada di pangkin itu untuk membuka kisah misteri Kak Hana. Iza mengambil keputusan untuk tidur di situ bersama adik-adiknya yang baru sampai sementara Kak Najwa dan Nana sudah pulang ke rumah selepas solat Maghrib berjemaah tadi. Terkejut juga Zaki dengar. Walaupun Zaki bukanlah antara sepupu yang pernah tinggal di rumah itu ketika kecil, dia tahu betapa Iza amat menyayangi Kak Hana sebegitu juga dengan dia yang menyenangi Kak Hana.
“Habis, Nad tak tahu ke?”
“Tak. Takut nanti kalau dia pun action jugak, Kak Hana boleh syak apa-apa” jawab Aqil.
“Hmm… tapi bukan ke Kak Hana tidur dengan Nad? Kan lagi senang nak minta Nad carikan petunjuk?”
Iza dan kembar itu terdiam. Mungkin betul kata Zaki.
“Ya tak ya juga kata kau. Tapi, boleh ke Nad tu?” ujar Iza.
“Memandangkan kau orang pun dah balik sini, aku rasa boleh kut ada yang cover kan kita. Jangan bagitahu Aris dengan Iman.”
“Kita tanya yang lain sekali”
***Misteri Kak Hana***
Aqil menambah Zaki ke dalam grup
Aqil - Zaki cadangkan kita komplot dengan Nad. Dia lagi rapat dgn Kak Hana.
Abang Aki - amboi, baru masuk dah ada cadangan. Advance betul Zaki.
Kak Najwa - hahaha welcome to the gang zaki
Zaki - hehehe spontan je idea. Takde lah, k.hana kan perempuan. Nad pun perempuan. Selalunya benda-benda private ni diorang suka bincang sama diorang je.
Nana - bijaknya kau hahaha apehal kita tak terpikir pun ek?
Aqil - macam tu la ideanya. Sy ada dgn waqiq dan kak iza ni.
Abang Aki - kau orang tak tanya k.hana pasal tu lagi ke?
Aqil - belum hehe sorry.
Abang Shauqi - uiks, apa cer ni? Eh zaki kau balik ke?
Zaki - hai abg shauqi. Haah baru petang tadi.
****
****
Setelah berbincang beberapa perkara, kata sepakat dicapai. Mereka akan merekrut Nad sebagai ahli baru juga. Aqil dan Waqiq juga merasakan Nad sesuai untuk mengorek informasi dengan lebih efisien. Kemudian, Aqil masuk ke rumah mencari-cari Nad di ruang tamu. Kelihatan Nad sedang bermain dan berborak dengan Aris dan Iman.
“Kau orang buat apa tu?” tegur Aqil.
“Abang Aqil, Iman dah berjaya masuk level 7 ! tengok ni”, si kecil Iman menjawab. Rupanya mereka sedang bermain aplikasi permainan lumba kereta.
“Wah… pandainya Iman. Kak Hana mana?”
“Ada dalam bilik. Buat kerja kut” jawab Nad.
“Awalnya” Aqil menoleh-noleh sekeliling mereka. Maklong dan Paklong sedang menikmati minuman panas dengan atuk sambil berborak. Sememangnya Kak Hana tiada di situ.
“Nad, ikut aku kejap. Ada benda nak cakap”
Nad memandang pelik. Namun dituruti juga permintaan Aqil.
Mereka ke pangkin luar rumah itu. Iza, Waqiq dan Zaki setia menunggu. Apabila terpandangkan mereka, Nad semakin pelik. Macam serius sangat aje bunyinya ni.
Iza memulakan bicara. Menceritakan segala hal dari A hingga Z mengenai misteri Kak Hana itu. Pada awalnya Nad hampir ketawa terbahak-bahak membayangkan tindakan-tindakan lucu sepupu-sepupunya itu. Dia tidak pernah menyangka sebegitu sekali mereka bertindak demi Kak Hana kesayangan mereka itu. Namun, demi memikirkan masa depan kakaknya jua, Nad terbuka hati untuk turut serta dan merahsiakan hal ini daripada sesiapa. Tetapi Nad tidak akan dimasukkan ke dalam kumpulan sembang khas mereka kerana khuatir Kak Hana akan ternampak jika dia sedang bermain dengan telefonnya. Hal ini juga di atas permintaan Nad. Lagipun, dia boleh sahaja menyampaikan apa-apa makluman melalui abang kembarnya itu.
Sewaktu Nad masuk ke bilik untuk tidur, dia melihat Kak Hana baru sahaja selesai mengerjakan solat Isyak. Sangkanya Kak Hana sudah tidur rupanya dia masih berjaga. Ingatannya kembali kepada perbincangan di pangkin sebentar tadi. Kali ini misi mereka ialah untuk mengetahui siapakah lelaki yang dikatakan sebagai teman lelaki Kak Hana itu. Nad tidak pernah terfikir tentang hal ini - memastikan Kak Hana mendapat pasangan yang ideal - yang tanpa disangka-sangka sepupunya lebih prihatin terhadap Kak Hana berbanding dirinya sendiri. Nad tidak pernah pasti kenapa tetapi yang dia tahu mereka benar-benar sayangkan Kak Hana.
Sejujurnya, Nad seringkali perasan Kak Hana akan tersenyum, tersengih ataupun ketawa seorang diri apabila sibuk bermain dengan telefonnya. Nad pernah usik Kak Hana kalau-kalau dia sedang bersembang dengan teman lelaki atau sekadar crush, namun Kak Hana menafikan dengan menyatakan itu hanyalah perbualan dalam kumpulan sembang kawan kolejnya. Nad tidak pula mempertikaikan lagi kerana dia sendiri faham keadaan itu; kadang-kadang kawan buat lawak bodoh atau menghantar media yang menggelikan hati - Nad sendiri pernah ketawa terbahak-bahak sebab itu. Sebab itu Nad tidak pernah memikirkan hal itu dengan lebih mendalam.
Tetapi, apa yang disampaikan oleh Kak Iza tadi bermain dalam mindanya. Mungkinkah sememangnya Kak Hana ada teman lelaki? Kalau betullah apa yang Kak Nana dengar ketika misi pengintipan itu, maka betullah Kak Hana sudah berpunya.
“Aris dengan Iman dah tidur?” soalan Kak Hana mematikan lamunan Nad.
Nad memandang Kak Hana sebelum menjawab, “Ha, sudah. Dengan Kak Iza kat luar. Tadi Nad bentangkan toto untuk diorang”.
Kak Hana sekadar mengangguk. Kemudian dia melompat ke atas katil dan baring disebelah kanan katil. Nad ikut baring sebelahnya sambil berlagak melihat telefonnya. Sesekali Nad cuba mengintai skrin telefon Kak Hana. Namun, kelihatan seperti tiada apa-apa yang boleh membantunya. Nad mengambil keputusan untuk bertindak.
“Tahun depan akak habis belajar kan?”
“Haah. Tinggal praktikal nanti”, jawab Kak Hana tanpa memandangnya.
“Oh. Nanti akak nak kerja kat mana? Kat sini je ke atau hijrah tempat lain?”
“Tak tahu lagilah Nad. Tengok rezekilah. Kalau dapat jauh pun akak tak risau, korang kan dah besar” kali ini Kak Hana memandang Nad dengan senyuman.
Nad membalas senyum. “Hmm…cepatnya masa berlalu kan kak? Nanti Nad pun dah nak ambil SPM. Abang Aqil dengan Abang Waqiq pun dah masuk universiti…”
Nad ketawa kecil. “tu pun kalau diorang nak sambung universiti haha”
“Insya Allah adik-adik akak semua berjaya nanti”
“Hmm yelah. Pastu akak pun mungkin akan kahwin”
Kak Hana diam.
“Akak nak kahwin umur berapa?” sengaja Nad bertanyakan seperti itu.
“Hmm…mungkin lepas akak dapat kerja. 26 atau 27 kut?”
“Tak lambat ke? Agak-agaknya akak suka lelaki yang macam mana?” Nad bertanya manja.
Kak Hana tersenyum kecil sebelum mengiringkan badannya ke arah Nad.
“Hahaha. Akak pun tak ada ciri-ciri spesifik lagi. Mungkin yang bekerja keras dan jujur?”
Nad mencebik. Simple betul Kak Hana ni. Cubalah demand sikit.
“Macam ayah ke?”
“Hmm, macam ayah”
Nad cuba pancing lagi. “Akak, kat sekolah kan Nad ada minat seorang budak lelaki ni. Dia suka usik Nad. Kecoh, selalu buat bising. Tapi dia baik sangat dengan Nad. Tapi Nad tak pasti nak bagitahu dia ke tak pasal perasaan Nad ni”
“Nad pasti ke dengan perasaan Nad? Lagipun Nad muda lagi. Takut tu semua mainan perasaan aje”
Nad suka sisi Kak Hana yang satu ini. Rasional dan matang. Kak Hana baru 24 tahun tetapi pemikirannya dan perlakuannya sangat matang, jauh dari umurnya sendiri. Kalau dia menghadapi masalah, dia paling senang menceritakan masalahnya kepada Kak Hana.
“Macam mana nak tahu ?”
“Kalau Nad sekadar sukakan dia sebagai kawan, cukuplah Nad layan dia seperti biasa. Tetapi berbeza kalau Nad sukakan dia sebab Nad kagumkan sesuatu tentang diri dia, cukuplah Nad anggap itu keistimewaan dia. Nad muda lagi. Perasaan seperti yang Nad rasa tu cuma sementara. Nanti dah besar, Nad akan dapat bezakan sendiri.”
“Hmm… macam tu. Akak pernah rasa macam tu ke? Sekarang akak dapat bezakan ke? Akak kan dah besar?” soalan Nad membuatkan Kak Hana terkesima. Dia terdiam sebentar sebelum menarik nafas dalam.
“Pernah sekali masa dulu.”
“Sekarang?”
Kak Hana menoleh, badannya menghadap siling.
“Insya Allah, nanti akak akan berjumpa dengan yang pasti”
Jawapan Kak Hana tentunya tidak memuaskan hati Nad. Tampaknya Kak Hana masih belum mahu membongkarkan statusnya. Nad mengeluh berat sebelum memejamkan matanya.
No comments:
Post a Comment