Big Hero 6 Kak Hana
<Imbas kembali>
Pagi sabtu itu Kak Hana ke warung Pak Lan seperti biasa. Dia ditemani Kak Najwa dan Abang Aki seperti hari minggu yang selalu. Mereka membawa bakul-bakul kuih untuk dijual di warung Pak Lan. Tibanya di sana, Kak Hana seperti biasa berurusan dengan Pak Lan untuk mengambil duit jualan kuih semalam sementara Abang Aki dan Kak Najwa menunggu di sebuah meja di warung itu. Ketika mereka berdua sedang berborak, seorang lelaki datang ke warung untuk membeli sarapan. Dari segi pakaian, mereka mengagak lelaki itu seorang pekerja poslaju.
“Pak Lan, selamat pagi” ucap lelaki itu dengan gembira. Dia yang sudah biasa ke warung itu sememangnya agak rapat dengan Pak Lan.
“Eh, awalnya kamu hari ni, Adam. Selalu nak naik matahari baru sampai. Syif baru ke?” sambut Pak Lan yang baru keluar dari dapur bersama Kak Hana. Kak Hana terus menuju ke Abang Aki dan Kak Najwa untuk pulang.
“Tak adalah. Hari ni kena hantar kawan, motor dia rosak semalam tu yang kena bangun awal. Pak Lan, kuih keria ni panas lagi ni. Sedapnya” ujarnya sambil mengunyah.
“Yela, baru sampai. Air macam biasa ke?”
“Ouh, bukan isteri Pak Lan buat ke? Haah, macam biasa Pak Lan”
“Mana sempat nak buat kuih-kuih ni, Pak Lan order dari orang kampung je” ujarnya sambil berlalu ke dapur.
“Siapa Pak Lan?”
Pak Lan tidak menjawab. Sebaliknya menunding jari ke arah tiga manusia yang baru sahaja berlalu pergi dari warungnya. Lelaki yang bernama Adam itu memandang mereka yang sudah jauh meninggalkan warung Pak Lan dengan wajah yang ingin tahu.
Keesokannya, Adam datang ke warung Pak Lan awal seperti semalam. Kali ini dia berpakaian santai kerana hari cuti. Jauh di sudut hati, dia ingin tahu siapakah tiga budak muda yang dilihat semalam. Sedikit rasa kagum terselit di hatinya kerana mereka masih muda tetapi sudah berniaga kecil seperti ini. Harinya bernasib baik. Ketika di warung itu, dia terserempak lagi dengan mereka bertiga. Namun, yang paling tinggi antara mereka itu sedang berjumpa dengan Pak Lan. Lalu, dia mendekati yang dua itu.
“Dik, korang ke yang bawak kuih ni?”
Mereka berpandangan sebelum budak lelaki itu menjawab, “Haah bang”
Adam tersenyum mesra, “Sedaplah kuih tu. Memang mak korang buat ke?”
“Nenek kami. Dengan kakak saudara kami”
“Oh…”
Ketika itulah Kak Hana menerpa mereka.
“Aki, Najwa. Jom balik. Pak Lan, terima kasih ya” panggil Kak Hana. Mereka berdua bangun dari tempat duduk menarik Kak Hana pergi dari situ. Adam kaku apabila melihat Kak Hana. Matanya seakan-akan terkunci merenung wajah Kak Hana. Dia tidak pernah percaya momen cinta pada pandang pertama tetapi itulah yang dihadapi olehnya! Kak Hana yang berlalu tidak langsung mengendahkannya. Dia malah tidak perasan pun renungan mata Adam terhadapnya. Mereka bertiga berlalu pergi dari warung itu.
Adam tanpa membuang masa terus menerpa Pak Lan, bertanyakan macam-macam mengenai gadis tadi.
Suatu hari, Kak Hana yang baru pulang dari kelas tambahannya singgah ke warung Pak Lan untuk membawa pulang bakul-bakul kuih yang ditinggal di sana pagi tadi sebelum ke sekolah. Waktu itulah, Adam yang berada di sana menghampiri Kak Hana. Dia sama sekali tidak menyangka Hana masih bersekolah. Namun, penampilannya dalam uniform sekolah membuatkan gadis itu kelihatan comel. Kak Hana yang sedang sibuk menyusun bakul berasa agak kekok disapa oleh Adam.
“Awak ke yang buat kuih semua ni?”
“Taklah. Saya tolong nenek saya je”
“Dah lama dah hantar kuih kat sini?”
“Erm, dalam 3,4 tahun”
Kak Hana jawab acuh tak acuh sahaja. Dia kurang berminat untuk bermesra dengan lelaki di hadapannya ini.
“Sedap. Mesti awak pun pandai masak” puji Adam.
Kak Hana kurang pasti pujian itu ikhlas atau ada makna di sebaliknya namun dia hanya tersenyum paksa membalas pujian yang diberikan. Selesai dengan kerjanya, Kak Hana meminta diri untuk beredar namun sempat dihalang Adam.
“Saya hantarkan kalau awak nak?” Adam menawarkan diri. Dia ingin sekali mengenali gadis itu dengan lebih rapat. Tetapi, ketahuilah; niat Adam yang ‘baik’ itu tidak langsung didefinisikan ‘baik’ oleh Kak Hana. Wajah Kak Hana berubah kelat mendengar pelawaan itu sebelum dia menghentak kaki Adam dan memukul bakulnya ke badan Adam. Adam mengaduh sakit ketika Kak Hana lari pulang ke rumah yang hanya sepelaung dari warung Pak Lan.
Adam tidak berputus asa. Dia mencapai motosikalnya dan menghidupkan enjin. Segera dikejarnya Kak Hana.
“Hey, awak! Saya bukan orang jahatlah!” jerit Adam dari belakang Kak Hana.
Gila! Dia kejar aku sampai sini? Tak jahat pebendanya kalau kejar anak dara orang tak memasal, bentak Kak Hana dalam hatinya. Rumahnya lagi beberapa langkah sebelum dia dapat melihat Abang Aki, Kak Najwa, Iza dan Abang Shauqi di beranda rumah. Apabila Kak Hana tiba di depan rumah, waktu itulah Adam juga memberhentikan motornya di depan Kak Hana.
“Apa awak nak ni? Gila ke kejar saya sampai sini?” marah Kak Hana.
Abang Aki dan yang lain-lain segera berkejar mendapatkan Kak Hana.
“Kenapa ni kak?”, tanya Abang Aki kemudian dia memandang lelaki itu. “Eh, abang ni yang kita jumpa hari tu kan?” Kak Najwa mengangguk.
Kak Hana masih menyinga. Dia tercungap-cungap mencari nafas selepas berlari dari warung Pak Lan. Ditambah pula dengan rasa marah, oksigen dalam darahnya seakan-akan tidak mencukupi!
“Eh, eh kejap. Jangan salah faham. Saya cuma tak nak awak ingat saya ni jahat ke apa. Saya cuma -” ayat Adam dipotong sebelum sempat menghabiskannya.
“Kau buat apa dengan Kak Hana ha? Apasal kau kejar dia sampai sini?” jerkah Abang Aki. Terus berubah panggilan abang tadi dengan kau-aku.
“Jangan kacau Kak Hana! Baik abang pergi sebelum kami report polis” kali ini Kak Najwa pula mempertahankan Kak Hana.
“Err.. er..” tergagap-gagap Adam apabila dijerkah mereka. Tak sangka dia gadis itu mempunyai ‘bodyguard’ yang garang-garang. Kelam kelibut Adam melarikan diri apabila tiba-tiba ada dua orang kanak-kanak lagi mula mengacahnya untuk membaling batu sambil menjerit menyuruhnya pergi.
Kali kedua Adam cuba menghampiri Kak Hana ialah pada suatu hari Ahad yang indah. Kak Hana ke warung Pak Lan tengah hari itu untuk menghantar sebuah bungkusan. Terkejut Kak Hana apabila wajah Adam terpampang di hadapannya tatkala dia berpaling daripada Pak Lan.
“Hai, awak” Adam melemparkan senyuman manis kepada Kak Hana. Tetapi ketahuilah; manisnya senyuman itu menakutkan bagi Kak Hana.
“Ha, Adam. Nak order apa?” tanya Pak Lan seperti biasa. Kak Hana mengambil kesempatan untuk beredar namun langkahnya terhalang oleh Adam. Adam yang masih memandang wajah gadis itu tersenyum lebar.
“Saya… nak order gadis ni boleh?” bisik Adam perlahan dengan nada gurauan. Pak Lan tentunya tidak mendengar apa yang dikatakan oleh Adam memandangkan dia sedang sibuk dengan pelanggan lain.
Wajah Kak Hana merona merah. Malu. Marah. Perasaanya berapi. Rasa ingin ditumbuk aje lelaki ini. Dasar lelaki tak tahu malu! Dia ni makhluk dari bandar yang tak tahu malu ke apa?
Dengan sekelip mata sahaja, Kak Hana betul-betul menumbuk perut Adam sebelum berlari pergi. Adam mengaduh kesakitan.
Setelah beberapa minit kemudian, ketika Adam selesai makan tengah hari, dia didatangi sekumpulan budak sekolah. Waktu itu dia baru mahu menghidupkan enjin motosikalnya. Wajah budak-budak itu yang pasti dua daripadanya dia kenal. Aki dan Najwa. Adam tidak pasti siapa pula yang selebihnya tetapi dia yakin mereka inilah ‘bodyguard’ Kak Hana. Dan pada malam hari Ahad yang indah itu menjadi malam Ahad yang menyakitkan buat Adam apabila badannya lebam-lebam dipukul ‘bodyguard’ tak bertauliah itu sebelum dia sempat melarikan diri.
Nad, Aqil, Waqiq dan Zaki ketawa mengekek-ngekek mendengar cerita yang disampaikan oleh Iza tadi. Bukan main lagi mereka gelak sehingga keluar air mata. Sungguh mereka tidak pernah tahu hal ini. Apatah lagi menyangka Kak Hana pernah ada peminat gila macam tu. Tahulah mereka kini betapa rapatnya lima sepupu ini dengan Kak Hana. Pagi itu mereka di pangkin, menikmati suasana alam selepas bersarapan. Kak Hana, Maklong dan Paklong pergi ke pasar mencari bahan dapur. Atuk pula masih di surau, katanya ada mesyuarat AJK. Sementara Aris dan Iman masih tidur di rumah.
Nad bertanyakan Iza tujuan mereka bersungguh-sungguh ingin menyiasat teman lelaki Kak Hana. Malam tadi sebelum dirinya dibuai mimpi, otak Nad bergeliga memikirkan kesungguhan mereka. Maklumlah, hal ini berkait dengan hidup dan masa depan Kak Hana. Kalau betullah Kak Hana dah berpunya, Nad yakin Kak Hana pilih yang terbaik. Lagi pula Kak Hana sendiri sudah besar. Tiba masanya dia akan menempuh alam perkahwinan tak lama lagi, tentu sahaja Kak Hana sudah matang memikirkan hal ini. Rancangan mereka ini seakan mengganggu kehidupan privasi Kak Hana. Nad takut seandainya Kak Hana akan marah jika dia tahu hal ini.
Namun, tak pernah pula dia menyangka cerita lucu ini akan dibongkarkan oleh Iza. Tambah Iza lagi, semasa di sekolah pun ramai yang suka mengganggu Kak Hana.
“Sampaikan satu tahap, ada yang main bet dengan Kak Hana! Kurang ajar betul. Dia ingat Kak Hana tu anak patung ke nak buat taruhan macam tu. Manalah kami tak bengang. Sejak itulah, kitorang selalu akan pastikan lelaki yang berkawan dengan Kak Hana ni bukan kawan main-main”, kata Iza.
“Wah, popularnya Kak Hana” kagum Zaki.
“Kami pun tak pernah tahu, Kak Iza. Hmm…patutlah penting sangat untuk tahu siapa teman lelaki Kak Hana” Aqil dan Waqiq mengangguk setuju.
“Macam Big Hero 5 dah korang ni! Bodyguard special Kak Hana” Nad sambung ketawa. Sewaktu Kak Hana tingkatan lima, Abang Aki, Kak Najwa dan Abang Shauqi turut belajar di sekolah yang sama. Cuma Iza dan Nana sahaja yang masih bersekolah rendah darjah enam.
“Hehehe. Sebab tu Kak Hana korang ni garang dengan orang luar. Dengan kita aje dia berlembut” Aqil, Waqiq, Nad dan Zaki mengangguk sambil mebulatkan mulut menyebut oh.
“Eh, hari ini Kak Najwa dengan yang lain semua datang makan sama”, khabar Iza selepas memeriksa sembang Whatsapp miliknya.
“Yeaaahhhh!!” sorak adik-adiknya. Cuti sekolah kali ini bakal menjadi yang paling seronok untuk mereka.Fasa pengintipan 3
Rumah tua itu meriah dengan suara-suara penghuninya. Makan tengah hari mereka dihiasi dengan usikan dan gelak tawa mendengar cerita masing-masing. Kak Najwa dan Nana datang dengan menaiki kereta Abang Aki. Abang Shauqi pula datang kemudian bersama Makngah dan Pak Cad mereka. Seronok berkumpul sekali sekala, golongan tua ini bersembang pelbagai topik bersama. Sedikit mengenai aktiviti harian masing-masing, kadang topik politik pula dibuka. Kak Hana dan yang lain turut mencelah sama meluahkan pendapat.
“Hana tahun ni ke habis belajar?” tanya Pak Cad.
“Tahun depanlah. Tinggal dua semester lagi”, balas Kak Hana.
“Oh, kejap lagi kang kahwin pulak”,
“Kak Hana dah ada calon ke?” usik Makngah. Kedengaran tawa dari atuk dan lain-lain.
“Uish, mana ada. Orang kerja dululah” Kak Hana cuba menyangkal.
Nad, Zaki dan kembar itu sekadar tersenyum penuh makna. Abang Aki menjeling Abang Shauqi. Abang Shauqi pula menghantar jelingan ke Nana. Nana yang sibuk makan tanpa menghiraukan perbualan tadi kalut apabila merasakan Abang Shauqi menyiku dia. Kak Najwa mengeluh melihat kelembapan Nana sementara Iza pula bersemangat mendengar perbualan tadi.
“Hehehe…kalau Kak Hana dah ada orangnya bawak-bawaklah datang sini, kan Maklong?” cucuk Iza sambil mengangkat-angkat keningnya.
Maklong sengaja buat muka annoying. Bukan kerana permintaan Iza itu sendiri tetapi kerana sikapnya yang melebih-lebih pula macam orang tua. Iza ketawa kecil melihat reaksi Maklongnya.
“Haah kak. Kalau akak tak ada pun, kena cari awal-awal. Sekarang ni susah nak cari pasangan yang baik” tambah Aqil.
“Amboi kau orang. Melebih-lebih pulak” marah Kak Hana.
Sebelum lelaki tu datang sini lagi, dia kena langkah mayat kami dulu! , geng misi sempat berjanji dalam hati masing-masing.
“Eh, siapa nak kahwin?”, Iman lurus bertanya mengundang tawa yang lain.
Malam itu Abang Aki dan keluarganya pulang ke rumah. Iza juga mengikut pulang ke rumah Kak Najwa dan Nana.
Pagi Ahad itu berjalan seperti biasa. Namun, ada sesuatu yang luar biasa. Selepas mengejutkan Aris dan Iman, Nad ke beranda rumah untuk menyiram pokok. Kak Hana dan Maklong seperti biasa ada di dapur menyiapkan sarapan. Sesekali Nad berbual ringkas dengan ayahnya di beranda itu juga sebelum mendengar panggilan atuk untuk bersarapan.
“Kak Hana nampak gembira hari ini” ujar Aris dengan senyuman comelnya. Kak Hana hanya ketawa kecil.
“Aris pun nampak gembira hari ini”, balas Kak Hana sambil menuangkan air Milo ke cawan. Senyumannya masih kekal di bibir Kak Hana. Aris ketawa, “Kak Hana nak main dengan kami ke hari ni?”
Waktu itu Aqil, Waqiq dan Zaki tiba di dapur dan duduk sebelum menyenduk mihun goreng ke pinggan masing-masing.
“Sorry Aris, kita main sama-sama malam nanti ya. Petang akak ada hal”, jawapan Kak Hana menyebabkan Aqil dan Waqiq berpandangan. Ada mesej yang disampaikan melalui telepati mereka berdua. Zaki dan Nad yang tidak tahu-menahu betapa pentingnya info itu tidak perasankan apa-apa.
“Okay!”
***Misteri Kak Hana***
Waqiq - k.hana nak keluar petang ni. Tapi tak tahu pergi mana
Abang Aki - korang cuba-cuba dulu tanya kalau tak shauqi kau ikut dari jauh je la.
Abang shauqi - Alamak, aku ada hal laa
Kak Najwa - heshh time macam ni la kau ada kerja. Nana kata dia pergi nanti.
Zaki - hahaha saya nak ikut boleh?
Abang Aki - eh eh eh tak boleh. kau tolong kembar tu korek info.
Zaki - yelaa :(
******
Selepas solat Zohor, Kak Hana bersiap-siap untuk keluar. Aqil dan Waqiq yang sedang bermain dengan Iman dan Aris di ruang tamu menegur Kak Hana.
“Akak nak pergi mana?”
“Keluar jap. Jumpa kawan. Kau orang nak apa-apa ke?” tanya Kak Hana sambil tersenyum.
“Erm… apa-apa jajanlah untuk budak dua ni. Hehehe”
“Okay. Bye!” Kak Hana melangkah keluar dengan cerianya sebelum mendapatkan motosikalnya.
“Ughhh.. apa hallah susah sangat nak tahu lokasi dia ni” rungut Waqiq.
“Aku dah cakap dalam group. Mungkin Kak Nana dah follow dari belakang”.
“Yeayy Kak Hana bawak jajan nanti” ujar Aris dengan gembira. Aqil dan Waqiq menoleh ke arah mereka dan tersenyum.
“Yela, Kak Hana kan gembira hari ni”, kata-kata Iman membuatkan kembar itu berpandangan. “Maksud Iman…Kak Hana gembira?”
Aris menjawab, “Hmmph! Kak Hana gembira pagi tadi. Kami dengar dia menyanyi sambil masak mihun” dua kanak-kanak itu ketawa kecil.
Nad masuk ke ruang tamu selepas menolong ibunya di dapur untuk bermain dengan Iman dan Aris. Namun belum sempat dia berkata apa-apa, lengannya ditarik Aqil menyebabkan dia terduduk antara Aqil dan Waqiq. Nad cuak bertambah pelik. Kedua-dua abangnya dipandang bergilir-gilir. Wajah mereka penuh dengan tanda tanya.
“Err… apa hal ni?”
***Misteri Kak Hana***
Aqil - k.nana kat mana?!!!
Nana- tengah follow lah ni. Macam pergi tasik hari tu aje. Kenapa?
Aqil - kami syak k.hana jumpa boyriend dia
Nana - okok…memang tengah nak pastikanlah ni. Kenapa aqil tiba-tiba cakap macam tu?
Aqil - aris dengan iman perasan k.hana happy semacam hari ni. Nad pun kata mcm tu.
Kak Najwa - ughh, pastu kau terus syak macam tu? Come on, tunggulah result nanti
Abang Aki - k.hana bukan happy hari-hari ke? Hahahaha
Aqil - err, ya. Tapi bukan menyanyi sambil memasak ? nad pun kata tak pernah dia macam tu.
Kak Najwa - wow, something really did happen. K.hana memang tak menyanyi dalam dapur okay.
Nana - OMG!!!! K.HANA MEMANG JUMPA LELAKI (O.O)!!
Aqil - What !!
Abang Aki - Whatttt
Kak Najwa - WHAT???!
******
Nana seperti kurang percaya dengan apa yang dilihatnya. Kak Hana sedang berbual dengan seorang lelaki sambil menjamu rojak di sebuah kedai kecil di taman itu. Yang paling tak tahannya mereka kelihatan sangat gembira. Nana sudah panas punggung, dadanya sesak dengan perasaan ingin tahu siapakah lelaki itu. Nak dengar tak boleh pula sebab kedai rojak itu sangat terbuka. Dia tidak mahu melakukan kesalahan yang sama seperti Kak Najwa. Kalau tidak, punahlah rancangan mereka. Nana teruskan mengintip dengan cermin mata hitamnya di belakang sebuah pokok yang tidak jauh dari tempat mereka. Dalam keadaan tak senang hati itu, telefon bimbitnya bergetar, tanda ada panggilan masuk. Dia mengangkat panggilan itu dengan cepat tanpa melihat siapa pemanggilnya.
“Nana, kau kat mana?” melalui suara pemanggil tadi, tahulah Nana itu Abang Shauqi.
“Kat taman tasik. Eh, Abang Shauqi nak apa? Saya tengah in action ni. Abang kata ada kerja” rungut Nana dengan suara yang perlahan. Sejujurnya dia tidak kisah pun untuk menggantikan Abang Shauqi dalam tugas ini tetapi panggilan itu benar-benar mengganggu dia.
“Aku tau kau kat taman. Aku kat sini jugak. Tapi kau kat mana? Aku datang sekarang” balas Abang Shauqi. Nana memandang pelik telefonnya seolah-olah memandang Abang Shauqi.
“Err… belakang pokok yang dekat dengan kedai rojak. Hati-hati, Kak Hana ada kat situ”
Talian dimatikan.
Tak sampai lima minit kemudian, Abang Shauqi datang dari belakang Nana. Mereka berdua mengintip sama-sama.
“Abang Shauqi dari mana? Dah habis kerja ke?”
“Hmm…aku ikut lelaki tu ha” selamba Abang Shauqi menjawab.
Nana menoleh pantas ke arahnya. “Lelaki mana?”
“Tu, yang dengan Kak Hana”
“Eh, abang kenal ke lelaki tu? Dan kenapa abang ikut dia pulak ni?” makin pelik si Nana. Orang yang sepatutnya diekori Kak Hana seorang aje, tapi kenapa pula lelaki ni terlibat dengan mereka? Tak semena-mena, kepala Nana diketuk.
“Kau tanya kenal ke tak? Cuba kau tengok betul-betul tu siapa”
Ha? Mereka kenal lelaki tu ke? Nana segera memerhatikan lelaki itu dengan lebih serius. Ditilik dari atas sampai bawah lelaki itu. Nana seakan pernah lihat lelaki itu tetapi masih tidak dapat dicamnya.
“Heesshh. Siapa lelaki tu?” pertanyaan Nana mengundang renungan maut dari Abang Shauqi. “Kalau kau nak tahu sangat, itulah lelaki gila yang pernah kejar Kak Hana sampai rumah!”
“Apa?!” Abang Shauqi menekup mulut Nana supaya suaranya tidak kedengaran oleh Kak Hana dan lelaki itu.
<Imbas kembali>
Petang Sabtu itu, Iman dan Aris mengajak Nad bermain di kebun belakang rumah. Mereka sedang bermain masak-masak apabila Abang Shauqi memanggil mereka pulang.
“Abang Shauqi, Iman nak aiskrim boleh?”
“Aris pun nak jugak” Abang Shauqi menyengih mendengar permintaan mereka.
“Macam-macamlah kau orang ni. Ha, jom kita pergi kedai”, mereka berjalan keluar dari kawasan rumah. Nad pula terus ke rumah untuk membersihkan diri. Pulang dari kedai, Iman merengek kelaparan pula. Mereka sudah jauh meninggalkan lot kedai, jadi untuk berpatah balik amatlah memenatkan.
Abang Shauqi membawa mereka singgah di warung Pak Lan. Memori zaman kecilnya menjengah, menghantar seribu satu rasa. Lama sungguh dia tidak ke sini, lubuk rezeki keluarga itu. Kalau Abang Aki atau Kak Najwa sibuk, dia pula akan menggalas tugas membawa bakul-bakul kuih ke sini. Selalunya dia melaksanakan tugas di rumah sahaja - membasuh kuali periuk, membuang sampah atau menolong membuat kuih sekali. Iza dan Nana banyak menjaga tugas-tugas rumah - membasuh kain, mengemas dan sebagainya. Lantaran itu, dia jarang berjumpa Pak Lan atau isterinya. Tetapi, ada satu momen yang tidak akan dilupakannya di warung itu. Momen dia dan lain-lain ‘mengajar’ seorang lelaki yang mengganggu Kak Hana. Menurut Abang Aki dan Kak Najwa, lelaki itu mungkin bekerja sebagai posmen atau kerani. Apa yang pasti dia turut pernah menyaksikan Kak Hana dikejar oleh lelaki itu sehingga ke rumah. Kali kedua Kak Hana diganggu, mereka terus ke warung itu selepas Kak Hana mengadu kepada mereka. Abang Shauqi ketawa kecil. Terasa kesian pula dengan lelaki itu. Mungkin mereka hanya terlebih menjaga Kak Hana.
“Kita nak beli apa Abang Shauqi?” soalan Iman mematikan lamunan Abang Shauqi. Dia menoleh ke arah Iman. “Sorry. Hehehe…ada kek coklat kat sini. Iman nak?” Iman mengangguk. Dia dan Aris kemudian duduk di sebuah meja sementara Abang Shauqi mendapatkan kek coklat yang terisi dalam bekas petak kecil lalu membayarnya di kaunter. Kemudian dia duduk bersama Iman dan Aris.
Ketika sedang rehat-rehat itu, Abang Shauqi terlihat seseorang yang dia seperti kenali. Namun, wajahnya terlindung dengan cermin mata gelap yang dipakai.
“Pak Lan tak ada ke?” tanya lelaki itu kepada pekerja di kaunter.
“Ada kat dalam. Nak saya panggilkan ke?” lelaki itu mengangguk. Seketika kemudian, Pak Lan keluar dari dalam dapur menyambut lelaki tadi.
“Pak Lan, ingat saya lagi tak?” lelaki itu tersenyum lebar seraya menanggalkan cermin mata hitamnya. Dan saat itu, mata Abang Shauqi terbeliak. Lelaki ni…
“Abang Shauqi kenapa? Macam nampak hantu aje”, tegur Aris. Terkulat-kulat Abang Shauqi apabila dia ditegur Aris. “Jom balik. Nak senja ni”, kata Iman. Abang Shauqi mengangguk namun dia berat hati untuk beredar sekarang.
Ingin sahaja dia menyapa lelaki tadi tapi lelaki itu sedang rancak berborak dengan Pak Lan. Tampak gayanya seperti mereka sudah lama tidak berjumpa. Adakah lelaki itu sudah berpindah dan baru pulang hari ini? Seingat dia pun, sejak peritiwa itu pun Abang Aki dan Kak Najwa tidak pernah lagi menyatakan kelibat lelaki ini. Separuh hatinya mengasak dirinya untuk memohon maaf atas keterlanjurannya sebelum ini. Maklumlah, waktu itu mereka masih kecil dan nakal. Mereka tidak patut bertindak seperti itu. Mungkin lelaki itu pun bukanlah berniat jahat seperti yang disangkakan sebelum ini. Serba salah Abang Shauqi jadinya apabila teringat-ingat tindakannya terhadap lelaki itu. Iman sudah menarik-narik lengan Abang Shauqi untuk pulang ke rumah. Dengan berat hati, dia pun menuruti Iman dan Aris. Dia berhasrat ingin datang kembali esok hari.
Abang Shauqi datang kembali ke warung Pak Lan pada pukul 12 tengah hari. Dia hanya mengagak dan mencuba nasib kalau-kalau lelaki itu akan makan tengah hari di warung Pak Lan. Tiba sahaja di sana dia membeli nasi bungkus kemudian masuk semula ke keretanya untuk mengintip dari luar. Lebih kurang setengah jam selepas Abang Shauqi selesai makan, dia mendapati lelaki itu datang ke warung tersebut. Lega hatinya dapat berjumpa semula lelaki itu. Abang Shauqi pun keluar dari kereta dan menuju ke warung itu semula.
Ketika dia cuba menghampiri lelaki itu, dia baru perasan lelaki itu sedang menelefon seseorang. Tidak ingin mengganggu, dia menapak ke meja sebelah dan duduk menunggu lelaki itu selesai dengan urusannya. Sejujurnya Abang Shauqi tidak berniat ingin mendengar perbualan lelaki itu tetapi dia hampir terjatuh kerusi apabila terdengarkan lelaki itu memanggil si pemanggil ‘Hana’.
Dahinya berkerut seribu. Dia tahu dan sedar dalam dunia ini ada jutaan manusia lagi bernama Hana tetapi dia tidak dapat menahan dirinya daripada mendengar perbualan itu senyap-senyap. Cuba berlagak biasa, dia mengeluarkan telefon dan buat-buat sibuk sambil mencuri dengar.
“Saya baru sampai kat warung nak makan. Nanti lepas Zohor saya gerak ke sanalah”
Jeda.
“Okay, Hana. Tasik pun tasiklah”
Jeda. Kemudian lelaki itu tertawa kecil.
“Tak apa, saya belanja. Awak cakap je nak makan apa”
Jeda.
“Haah minggu ni je. Sorry ya awak”
Jeda.
“Oklah saya nak makan. Nanti-nanti kita borak”
Jeda.
“Waalaikumussalam, Hana. Bye”
Klik.
Terkebil-kebil Abang Shauqi mendengar perbualan itu. Pertamanya, dia terasa meremang bulu roma mendengar perbualan itu. Walaupun tak adalah manis sangat pun tapi sebagai lelaki yang belum pernah lagi ada minat untuk memikat awek, sumpah dia geli dengar. Kedua, lelaki itu dengan ‘Hana’ akan berjumpa petang ini. Which means by any chance it was Kak Hana sebab Waqiq kata Kak Hana nak keluar. Oh Tuhan, katakan ini semua salah. Sungguh Abang Shauqi tidak dapat membayangkan hubungan antara lelaki itu dengan Kak Hana. Lelaki yang pernah mereka cuba jauhkan dari Kak Hana. Lelaki yang mengejar Kak Hana mereka sampai ke rumah! Lelaki yang mereka pernah buli itu?! Oh Tuhan…Oh Tuhan…
Namun Abang Shauqi cuba merasionalkan diri. Dia tiba-tiba tak jadi pula ingin menyapa lelaki itu. Dia mengambil keputusan untuk mengekori lelaki ini dari jauh. Maka dia pun keluar semula dari warung itu tanpa disedari oleh lelaki tersebut dan masuk ke dalam kereta. Sebelum masuk waktu Zohor, lelaki itu beredar bersama sebungkus nasi dengan menaiki keretanya. Abang Shauqi mengekori dari jauh.
Mereka tiba di sebuah kawasan perumahan. Ternyata lelaki ini pulang ke rumah dahulu. Mungkin untuk solat Zohor dulu. Azan sudah berkumandang. 10 minit kemudian masih tiada pergerakan. Abang Shauqi melihat Whatsapp. Aqil mengkhabarkan pemergian Kak Hana. Tapi tidak berjaya mendapatkan lokasi ke mana dia pergi. Dia bersabar lagi. Kemudian, kelihatan dari jauh lelaki itu keluar dari rumah lalu beredar dengan kereta Iriz miliknya.
Dalam perjalanan mengekori lelaki itu, Aqil kecoh memanggil Nana. Pada mulanya dia buat tak tahu sahaja tetapi apabila Nana mengatakan Kak Hana pergi ke tasik, dia mula panas punggung. Firasatnya berat menyatakan ‘Hana’ yang ditelefon lelaki tadi adalah Kak Hana mereka!
Setibanya di sana, andaiannya bukan lagi andaian. Malah, mimpi ngeri menjadi nyata!
Terbeliak mata Nana mendengar cerita Abang Shauqi. Dia hampir tak terkata apabila mendapat tahu hal ini. Secara amnya, mereka sudah tahu siapa teman lelaki Kak Hana dan misi ini hampir berjaya. Eh, tapi betul ke dia memang teman lelaki Kak Hana? Ingatannya pada Jebat yang disalahertikan oleh mereka menjadi petanda bahawa mereka tidak boleh terus membuat keputusan.
“Err…abang rasa betul ke lelaki itu boyfriend Kak Hana? Manalah tahu kali ni pun salah faham macam hari tu?” gusar Nana. Abang Shauqi terdiam. Betul kata Nana. Mereka tidak boleh teruskan mengandai sahaja. Kemudian dia mengeluh.
“Entahlah. Aku rasa macam ya je. Kau tahu kan Kak Hana mana guna saya-awak dengan kawan-kawan dia. Tapi yang aku dengar tadi dia orang guna saya-awak tu” Nana mengangguk kecil. Mungkin ini petunjuk mereka memang ada apa-apa.
“Tapi aku pun tak naklah kita terus buat conclusion macam kau cakap. Apa pun kita kena siasat lagi”
Petang itu biasa-biasa sahaja. Kak Hana dan lelaki itu sekadar berjumpa, berbual dan makan bersama sambil berjalan-jalan di taman itu. Selepas Kak Hana bergerak pulang, Nana dan Abang Shauqi pun pulang ke rumah masing-masing.
***Misteri Kak Hana***
Nana - I guess we found that guy.
Zaki - seriuslah? Siapa? Eh kak nana pergi dengan siapa?
Abang Shauqi - Adalah orangnya. Nak cerita sini susah. Kita set up meeting.
Nana - tadi ada abg shauqi sekali haha.
Kak Najwa - Roger! Selasa aku ngan nana free.
Aqil - kami semua masih cuti. Bila-bila pun boleh.
Abang Aki - I guess I will just reserve the day haha.
*****
bersambung...
No comments:
Post a Comment